Kepelbagaian budaya harus diraikan bersama

TUARAN: Kepelbagaian budaya yang ada di Sabah perlu terus diraikan semua rakyat  tanpa mengira kaum dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Ini kerana katanya, kepelbagaian dalam aspek budaya seperti sambutan Pesta  Tanglung antara yang telah menjadikan rakyat di negeri ini hidup bersatu padu dan  aman. 

“Inilah keunikan dan kehebatan Sabah yang menjadi contoh kepada negeri lain. Kita  mempunyai pelbagai perayaan yang kita raikan bersama-sama tanpa mengira kaum  dan agama.  

“Saya berasa bangga kerana Lions Club Tuaran telah menganjurkan pesta yang cukup  hebat dan berharap perayaan yang diwarisi sejak nenek moyang ini akan diteruskan  pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Tanglung Tuaran  di Padang Astaka Tuaran, di sini pada Sabtu malam. 

Dalam pada itu, beliau turut berharap rakyat akan terus menyokong kerajaan Gabungan  Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus untuk terus membangunkan negeri  ini. 

Katanya, kerajaan negeri hari ini akan terus membawa pembangunan kerana ini adalah  tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik kepada rakyat.  

“Justeru, saya berharap rakyat negeri ini tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan  fitnah yang dibawa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Sebenarnya, banyak  yang telah kita lakukan selepas pandemik COVID-19.  

“Kita telah merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan  ekonomi rakyat dan negeri ini. Bukan itu saja, malah dalam aspek lain termasuk  pendidikan dan modal insan yang menjadi antara fokus utama kerajaan negeri.  

“Kita tahu memang ada masalah yang dihadapi termasuk yang diwarisi daripada  penerintahan terdahulu seperti air. Tetapi kerajaan hari ini akan terus melakukan yang  terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan. Apa yang penting sokongan  daripada rakyat agar Sabah terus maju jaya dalam Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah dan akan terus melaksanakan lebih banyak  pembangunan dan projek yang menberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat negeri  ini. 

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred  Madius Tangau dan Presiden Lions Club Tuaran Kapitan Frankie Goh, yang juga  Pengerusi Penganjur. 

Tamat