Kerajaan komited lahirkan belia berilmu, kemahiran, kepemimpinan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited kepada pembangunan belia di negeri ini  dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan  kepemimpinan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan kepada  pertumbuhan ekonomi negeri.  

Menurutnya,ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting untuk menyokong  peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan  inovasi. 

"Sebab itu sebanyak RM100.17 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk perbelanjaan  mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.  

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan  pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang  menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi  sejajar dengan Dasar Belia Sabah", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke 40 Pergerakan  Pemuda Malaysia (YMM) Cawangan Sabah di Sabah International Convention Centre  (SICC) pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin. 

Hajiji berkata, golongan belia merupakan tenaga penggerak dalam pelbagai bidang  termasuklah berkaitan politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.  

"Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara dan negeri serta  sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan, usaha bagi mewujudkan organisasi belia  yang mantap dan sistematik amatlah diperlukan. Justeru, YMM memainkan peranan  penting bersama-sama kerajaan dalam pembangunan belia di negeri ini", tegasnya. 

Beliau berharap YMM Sabah akan membuka lebih ruang untuk menggalakkan lebih  ramai golongan belia daripada berbilang kaum menyertai pertubuhan ini, termasuklah  menyantuni golongan itu di kawasan luar bandar dan pinggir bandar menerusi program  jangkauan luar (outreach). 

Katanya, ini bagi memastikan belia-belia di kawasan pinggir bandar dan luar bandar  juga berpeluang menyertai pelbagai latihan, program pendidikan, kaunseling dan  pendidikan sosial bagi meningkatkan potensi mereka.  

Menurutnya, YMM Sabah sebagai pertubuhan belia bertaraf “Lima Bintang” yang  diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan telah berjaya memainkan peranan penting  dalam membantu pembangunan dan memperkasakan golongan belia di negeri ini.  

Katanya, menerusi usaha dilakukan oleh YMM, ramai golongan muda telah dibimbing  dan diasah bakat mereka menerusi pelbagai program latihan yang dianjurkan bagi  melahirkan golongan belia yang berfikiran lebih kritis, bertindak lebih matang dari segi  politik, ekonomi, budaya dan pendidikan. 

“Saya berharap YMM terus berusaha gigih untuk menyemai nilai-nilai murni di kalangan  belia supaya menjadi individu yang berdedikasi, rasional dan ikhlas serta sentiasa  menyertai kegiatan-kegiatan belia, seterusnya menyumbangkan tenaga dalam arus  pembangunan negara.  

“Ini adalah selari dengan dasar kerajaan memperkukuhkan modal insan yang berkualiti.  Ini bagi memastikan YMM kekal relevan dalam memperkasakan golomham belia di  negeri ini”, katanya. 

Tamat