Hari Sabah bukti semangat kebangsaan, rakyat tidak iktiraf tuntutan luar

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah adalah bukti semangat kebangsaan orang  Sabah untuk mendapat kebebasan dari penjajah sekali gus tidak mengiktiraf sebarang  tuntutan luar ke atas negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Beliau berkata kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan  kerana rakyat negeri ini telah memilih untuk bersama-sama membentuk negara  Malaysia. 

“Hari Sabah yang diraikan bersama-sama Hari Kebangsaan pada 31 Ogos adalah hari  yang sangat bersejarah. Ia adalah bukti semangat patriotisme orang Sabah untuk  mendapat kebebasan daripada penjajah kerana Sabah adalah sebahagian daripada  Negara Malaysia. 

“Masa depan Sabah terletak di tangan kita, oleh itu marilah kita bersama-sama terutama  generasi muda untuk menggembleng tenaga, berganding bahu, berusaha sebaik  mungkin memastikan negeri ini terus maju dan makmur serta rakyat kekal bersatu padu.  

“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,  memperkukuhkan sistem pendidikan, membangunkan infrastruktur yang lebih baik dan  memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri,” katanya sempena  Sambutan Hari Sabah 2024 di Padang Merdeka, di sini pada Sabtu. 

Ketua Menteri berkata sambutan Hari Sabah bukan hanya meraikan pencapaian tetapi  juga menghargai dan mengenang kembali perjalanan panjang yang telah dilalui untuk  mencapai kemerdekaan.  

Beliau berkata, kerajaan negeri pada hari ini sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi  dan memperbaiki taraf hidup rakyat.  

“Matlamat kita adalah jelas, iaitu mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.  Kita percaya, dengan hubungan yang akrab dengan kerajaan Persekutuan, ia akan  memudahkan segala urusan termasuk membabitkan Perjanjian MA63, atau perkara perkara lain yang berkaitan dengan pembangunan dan kenegaraan,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus mendokong dasar  pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya selari dengan semangat gagasan Malaysia 

MADANI yang menginginkan negara pesat membangun, berperanan tinggi di peringkat  global sekali gus menjadi negara yang dihormati dan disegani.  

“Malah, hasil corak kepimpinan negeri yang mesra pelabur, ia menjadikan Sabah  tumpuan pelabur asing dan domestik yang turut memberi peluang pekerjaan kepada  rakyat negeri ini. Sabah telah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion merentasi  pelbagai sektor pada tahun 2023 dan telah merekodkan hasil kutipan negeri hampir  RM7 bilion pada tahun yang sama. 

“Kini, kerajaan Sabah sedang meneroka potensi Ekonomi Biru melibatkan penerokaan  khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu serta produk yang boleh dihasilkan  daripada industri itu. Penerokaan itu antara usaha berterusan dan agresif bagi  meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebagai tambahan kepada sumber sedia ada,”  katanya. 

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin telah menyempurnakan majlis  pemasyhuran Sambutan Hari Sabah 2024.  

Yang turut hadirnya isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri,  Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag. 

Pengisytiharan Hari Sabah pada 31 Ogos telah diwartakan Kerajaan Sabah pada bulan  Jun lalu. 

Tamat