Insentif pingat emas SUKMA dinaikkan ke RM10 ribu

KUCHING: Kerajaan Negeri Sabah telah menaikkan insentif pemenang pingat emas  Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak daripada RM5 ribu ke RM10 ribu. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, setiap atlit Sabah yang  menang pingat emas SUKMA kali ini akan menerima insentif sebanyak RM10 ribu  berbanding RM5 ribu sebelum ini. 

Katanya, bagi pemenang pingat perak dan gangsa, Kerajaan Negeri akan menunggu  cadangan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan Negeri selepas selesai SUKMA  Sarawak. 

Beliau berharap kontinjen Sabah akan berjaya mencapai sasaran sebanyak 40 pingat  emas pada SUKMA XXI Sarawak. 

“Saya mahu atlit Sabah bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi dan  menjaga disiplin diri demi nama baik negeri Sabah”, katanya selepas mengadakan  pertemuan bersama Skuad Wushu Sabah yang berjaya menyumbang sebanyak tiga  pingat emas dan satu perak pada SUKMA Sarawak XXI di Hotel Pullman, hari ini. 

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin dan Pembantu  Menterinya, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri  Panglima Sr.Haji Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan  Sabah, Datuk Mansur Asun yang juga `Chief De’ Mission’ Sabah. 

Hajiji mengucapkan tahniah kepada skuad Wushu yang berjaya menyumbang pingat  emas dan perak pertama untuk Sabah. 

Tiga emas yang dimenangi oleh Skuad Wushu ialah menerusi Amirah Sofea Azlan  dalam acara sanda Wushu 45-48kg wanita, Dione Babyline Fely (sanda kategori 48- 52kg wanita) dan Fyenlly Himon (sanda 48-52kg lelaki). Pingat perak dimenangi oleh  Ericson Bong Cheng Loong (toulu gunshu lelaki). 

Tamat