DO, Presiden Majlis Perbandaran laksana amanah penuh integriti & ketelusan

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan  Pegawai Daerah (DO), Penolong Pegawai Daerah (ADO) dan Presiden Majlis  Perbandaran agar melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh integriti dan  ketelusan, khususnya melibatkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat. 

Katanya, mereka juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Wakil-wakil  Rakyat Kerajaan dan memaklumkan mereka tentang projek-projek pembangunan untuk  rakyat yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di  kawasan masing-masing. 

“DO merupakan pegawai yang amat penting di daerah, perlu memberikan kerjasama  kepada Wakil Rakyat Kerajaan dan jangan “tapuk” (sembunyikan) maklumat terutama  projek-projek pembangunan kerajaan. Wakil Rakyat mungkin tahu dan maklum tentang  projek pembangunan untuk rakyat daripada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) atau Parlimen. Tetapi projek lain daripada kerajaan, mereka tidak tahu”. 

“Saya juga telah memanggil Pegawai Kemajuan Negeri dan memintanya  memaklumkan kepada Wakil-wakil Rakyat projek dan peruntukan daripada Kerajaan  Persekutuan yang disalurkan di kawasan dan daerah mereka. Ini kerana saya menerima  aduan daripada Wakil-wakil Rakyat bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang perkara  ini”, katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah  Negeri Sabah Kali Ke-27, Tahun 2024 di Grand Ballroom, Shangri-La Rasa Ria pada  Khamis. 

Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai di beberapa daerah  negeri ini berhubung ketidaktelusan atau integriti dikalangan DO, ADO dan pegawai  jabatan kerajaan terutama sekali melibatkan pelaksanaan projek-projek kecil untuk  rakyat yang amat penting dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan. 

“Justeru saya berharap DO dan ADO mesti memberi tumpuan dan penekanan kepada  aspek integriti dan ketelusan. Apa yang penting ialah kita permudahkan urusan-urusan  mengenai pelaksanan projek-projek kecil, kerana rakyat amat memerlukan. Sebagai  pegawai yang setiap masa berada di bawah, rakyat perhatikan kita”.

“Kalau ada kekurangan atau ketirisan dalam pelaksanaan program-program kerajaan di  daerah, maka kesan dan implikasinya akan diterima ialah Wakil-wakil Rakyat dan juga  Kerajaan kerana rakyat akan kritik Wakil Rakyat dan Kerajaan”. 

“Kita perlu permudahkan urusan dengan rakyat apabila berjumpa dengan kita. Jangan  kita lambat-lambatkan sesuatu kelulusan, bukan sahaja dalam pelaksanaan projek kecil,  tetapi pengeluaran lesen-lesen dan sebagainya, kerana ini adalah soal kehidupan  rakyat”, tegasnya. 

Hajiji berkata, keberkesanan kerajaan bergantung kepada pegawai kerajaan khususnya  DO dan ADO yang berada di lapangan kerana rakyat akan jumpa dengan mereka untuk  pelbagai urusan.  

“Jika sesuatu urusan boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, jangan pula ambil  masa terlalu lama sehingga satu atau dua bulan untuk selesaikan atau luluskan, kerana  ini akan memberi impak negatif kepada kerajaan”. 

“Saya ingin mengingatkan bahawa saya tidak akan berkompromi, jika saya dapati ada  unsur-unsur melengah-lengahkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat yang  disengajakan, menyusahkan urusan dengan rakyat termasuk mengambil kesempatan  untuk mencari keuntungan, dan mempunyai bukti yang nyata, saya akan mengambil  tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai tersebut yang tidak melaksanakan tugas  seperti yang diamanahkan dengan baik dan semporna”. 

“Kerajaan mahukan kejayaan dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Tidak  lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya dan banyak lagi isu-isu yang perlu kita  selesaikan yang bersangkutan dengan rakyat”. 

“Bukan sahaja DO dan ADO tetapi semua pegawai kerajaan, sebagai pelaksana kepada  kerajaan yang memerintah. Laksanakan tugas dengan baik, permudahkan. Saya  berharap mereka bukan sahaja tingkatkan integriti, ketelusan tetapi kecekapan dalam  mentadbir di pejabat-pejabat peringkat daerah, kementerian dan lain-lain”, tegasnya. 

Menyentuh persidangan itu, Hajiji yakin ia akan memberi manfaat kepada rakyat negeri  ini kerana skop perbincangan menjurus kepada mencari salusi untuk tadbir urus daerah  yang mampan demi kepentingan rakyat. 

Tamat