UCSF perlu sentiasa beri nilai tambah program pengajian

KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) perlu sentiasa  menambahbaik dan memberi nilai tambah dalam lebih 10 program pengajian di  peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan kepada pelajar, bagi  memenuhi kehendak pasaran, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Katanya, antara yang wajar diberi perhatian ialah pengukuhan program akademik Sains,  Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) dan juga pemerkasaan Sistem  Pendidikan Teknikal & Latihan (TVET) bagi memenuhi cabaran Revolusi Industri 4.0. 

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa juga  usaha pembangunan UCSF dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan  institusi, melahirkan modal insan yang berkemahiran, berkualiti dan menggerakkan  transformasi pendidikan di negeri ini. 

“Pendidikan merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan  generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja  dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya”. 

“Justeru itu, UCSF telah mengambil langkah yang proaktif mewujudkan entiti baharu  antaranya Centre for Development Studies (CDS), Science, Technology and Innovation  Centre (STIC), Pusat Keusahawanan UCSF dan beberapa penyelidikan yang sedang  berjalan di universiti ini. Saya berharap semua yang dilaksanakan ini akan mencapai  matlamat yang dihasratkan dan memberi manfaat kepada pemegang taruh”, katanya  pada Konvokesyen Ke-3 UCSF di Sabah International Convention Centre (SICC) pada  Sabtu. 

Hajiji berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pertumbuhan ekonomi tidak berbelah  bahagi dan turut melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelabur untuk datang ke  negeri ini.  

“Kita juga meneroka sumber-sumber ekonomi baharu termasuk Ekonomi Biru yang  bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah, berpaksi hala tuju pembangunan  Sabah Maju Jaya (SMJ). Fokus kita pada masa ini ialah mewujudkan persekitaran yang  kondusif bagi perkembangan perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negeri,  serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk  memenuhi permintaan masa depan”, tegasnya.

Beliau yakin graduan UCSF berupaya menyokong proses pembangunan negeri ini yang  merentasi pelbagai sektor ekonomi seperti pelancongan dan hospitaliti, pertanian,  pembuatan, pembangunan sosial dan masyarakat, serta industri kreatif.  

Hajiji percaya, dalam tahun mendatang akan lebih banyak pelaburan langsung asing  (foreign direct investment) dijangka akan memasuki negeri Sabah. Rebutlah peluang  dan mainkan peranan penting dalam proses pembangunan negeri. 

Menurutnya, konvokesyen merupakan titik permulaan bagi semua graduan mengorak  langkah ke tahap kehidupan bekerjaya dan akan memasuki alam pekerjaan sejurus  sahaja meninggalkan UCSF, perlu menyiapkan diri secara mental dan fizikal bagi  memenuhi keperluan majikan.  

“Gunakanlah semua ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang berada di UCSF  agar dapat menjadi warga kerja yang efisien, kreatif dan inovatif”, katanya yang juga  Canselor UCSF. 

Hajiji berharap semua graduan yang menjadi alumni UCSF terus mengekalkan  hubungan yang rapat dengan bekas pensyarah dan fakulti masing-masing bagi  menentukan bentuk-bentuk khidmat bakti yang dapat disalurkan bagi manfaat universiti  secara keseluruhannya. 

“Semoga semua 166 graduan berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi,  menyumbang kepada negeri, negara dan manusia sejagat serta menjadi warganegara  yang baik. Rebutlah setiap peluang yang ada di luar sana agar mampu menjadi individu  yang dapat melihat dan menilai sesuatu keadaan dari pelbagai perspektif”, katanya. 

Tamat