Hala Tuju SMJ selari semangat gagasan Malaysia Madani

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus bergerak pantas mendokong dasar  pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selari dengan semangat  gagasan Malaysia Madani, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Katanya, Malaysia Madani inginkan negara Malaysia terus membangun pesat,  berperanan tinggi di peringkat global dan kembali menjadi negara yang dihormati lagi  disegani. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dengan penuh keyakinan, terus mara ke hadapan,  melaksanakan hala tuju negeri dengan penekanan kepada beberapa sektor penting  yang terdapat dalam Hala Tuju SMJ khususnya sektor pertanian, perindustrian dan  pelancongan. 

“Alhamdulillah, ketiga-tiga sektor ini telah melonjakkan ekonomi negeri sehingga  menarik pelabur ke Sabah sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak  tempatan. Selain itu, kita turut memberi tumpuan untuk membangunan modal insan dan  memperkasa kesejahteraan rakyat”. 

“Dengan dokongan jemaah kabinet negeri segala perancangan dan dasar-dasar dapat  dilaksana, sesuai Dasar Hala Tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan  pembangunan negeri Sabah”, katanya pada Majlis Himpunan Perdana Rakyat di Sabah  International Convention Centre (SICC) pada Ahad.  

Majlis itu dihadiri oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim yang  juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Hajiji berkata, Sabah menjadi tumpuan sebilangan pelabur dengan membawa nilai  pelaburan mencecah RM12 bilion sejak 2 tahun lalu, hasil berkat corak kepimpinan  negara yang dinamik serta mesra pelabur sehingga Sabah secara langsung turut  menikmati tempiasnya. 

Beliau berkata, beribu-ribu peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada anak-anak  Sabah hasil kemasukan pelabur domestik dan asing sehingga Taman Perindustrian  Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah  penuh, sekali gus memerlukan Kerajaan Negeri mencari dan mengenal pasti taman  perindustrian yang baharu bagi memenuhi keperluan dan kepesatan sektor  perindustrian di negeri ini.  

“Nilai pelaburan ini dijangka akan meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang, kerana  banyak lagi pelabur tempatan dan asing yang menunjukkan minat untuk datang melabur  ke Sabah”, katanya. 

Hajiji berkata, hasil kerjasama yang akrab antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan  Pusat, Sabah berjaya mengikat kerjasama strategik dengan PETRONAS dengan  termeterainya perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) yang memberikan  banyak peluang dan manfaat kepada Sabah, seperti penyertaan lebih besar dalam  usahasama penerokaan minyak dan gas di Sabah.  

Mengenai isu miskin tegar yang dekat di hati PM, beliau berkata Kerajaan Negeri  bertekad menangani isu itu dengan tuntas, menerusi pendekatan segera menawarkan  pekerjaan kepada golongan berkenaan yang melibatkan penyertaan beberapa agensi  kerajaan, GLC, pihak swasta termasuk para pelabur.  

“Langkah proaktif ini telah berjaya menurunkan jumlah miskin tegar di Sabah kepada  hanya 1,147 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat Julai tahun ini. Pendekatan agresif ini akan  terus kita laksanakan bagi menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah. Namun, ini adalah  miskin tegar. Tetapi bilangan rakyat yang termasuk dalam kategori miskin masih ramai  di Sabah yang memerlukan pembelaan berterusan daripada Kerajaan Negeri dan  Persekutuan”, tegasnya. 

Katanya, melalui usaha yang berterusan dan agresif bagi meningkatkan pertumbuhan  ekonomi, kerajaan akan menerokai sumber-sumber baru sebagai tambahan kepada  sumber sedia ada. 

“Untuk itu, Kerajaan Negeri sedang menerokai potensi Ekonomi Biru (Blue Economy)  iaitu penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu dan lain-lain produk  industri yang boleh dihasilkan daripadanya”. 

“Negeri Sabah yang dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes,  berpotensi tinggi untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru. Pada Oktober  nanti, Kerajaan Negeri akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkenaan  “The Blue Economy”, yang dijangka akan dilancarkan oleh PM”, katanya. 

Tamat