RM 33 juta untuk perkukuhkan pembangunan modal insan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM33 juta tahun ini bagi  memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan terutama kursus dan latihan berkaitan  kemahiran sains, teknologi dan inovasi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Katanya, sebanyak RM12.92 juta lagi diperuntukkan untuk pelaksanaan kursus-kursus dan  penyelidikan di institut pertanian di negeri ini. 

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi penekanan dalam pembangunan modal insan agar  dapat melahirkan sumber tenaga yang berpengetahuan, berkemahiran, berdaya saing dan  mempunyai jati diri yang menjadi aset penting kepada kemajuan kehidupan sejagat.  

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberi bantuan kepada UMS termasuk dari aspek  kewangan bagi membolehkannya menjalankan aktiviti penyelidikan yang berdaya saing, selain  dapat membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, mengeluarkan produk bernilai  tinggi, nilai untuk didagang serta meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan  negeri ini”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah Excocipta 2024  sempena Ekspo Kecemerlangan Rekacipta (EXCOCIPTA) 2024 UMS di Kompleks Dewan  Kuliah Pusat Ke-2,UMS pada Jumaat. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri  kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir. 

Katanya, para akademia iaitu penyelidik harus memastikan segala penyelidikan dan inovasi  yang dihasilkan menjadi penentu sesebuah universiti itu terus relevan atau sebaliknya.  Penyelidikan yang dilaksanakan harus mengambil kira faktor-faktor signifikan seperti relevan,  realistik dan mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat dan negara. 

“Sebagai institusi ilmu yang bukan sahaja memiliki para cerdik pandai atau sarjana yang  berupaya mendidik insan berkualiti tinggi yang mampu memenuhi tuntutan pasaran dan industri,  UMS juga harus mampu membina gagasan dan idea bermakna bagi memimpin negara menyelesaikan pelbagai permasalahan semasa”, katanya. 

Hajiji berkata, inovasi yang dihasilkan oleh para penyelidik diharap dapat membantu memacu  pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat dan negeri Sabah.  

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan aktiviti penyelidikan dan inovasi UMS dalam  bidang pertanian, akuakultur, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui, kerana Sabah sendiri  mempunyai sumber alam yang banyak dalam bidang berkenaan yang perlu dimanfaatkan  sepenuhnya bagi membangunkan sumber ekonomi yang baharu. 

Dalam usaha meningkatkan lagi penyelidikan di negeri ini, beliau menyarankan para penyelidik  mengadakan penyelidikan yang menggabungkan pelbagai bidang, menjalin kolaborasi dengan  komuniti setempat dan pihak industri.  

“Saya berharap agar universiti terus menyemarakkan budaya penyelidikan dalam kalangan  akademianya dan dibawa ke luar iaitu kepada masyarakat misalnya ke sekolah. Langkah ini  juga sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan  agar para saintis turun ke 100 buah sekolah khasnya sekolah pinggir bandar dan luar bandar  setiap bulan bagi mengadakan program pendedahan berkaitan sains”, katanya. 

Beliau berkata, inisiatif mewujudkan budaya penyelidikan memerlukan suntikan semangat sama  ada dalam bentuk pengiktirafan dan sumbangan berbentuk dana dan sebagainya. Persekitaran  ini boleh diwujudkan jika warganya berpegang teguh kepada nilai perubahannya. Universiti  adalah medan untuk menjalankan penyelidikan, tempat untuk mencipta inovasi dan kreativiti. 

Hajiji mengucapkan tahniah kepada UMS yang akan berusia 30 tahun pada bulan November  tahun ini, menegaskan UMS sungguh istimewa di hati rakyat Sabah dan telah banyak  menghasilkan inovasi menerusi penyelidikan para pensyarahnya.Inovasi berkenaan telah  dikomersialkan, selain turut memenangi anugerah serta pengiktirafan di pelbagai peringkat serta  telah membawa manfaat kepada masyarakat. 

Menyentuh EXCOCIPTA 2024, beliau berharap kejayaan para pemenang akan menjadi  pendorong untuk terus menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang bermutu, sekali gus  membawa penyelidikan ke peringkat antarabangsa dan memberi manfaat kepada masyarakat.  

Hajiji juga berharap UMS terus cemerlang dan sentiasa menjadi kebanggaan negeri dan negara,  sejajar dengan slogannya ‘Leading Towards Innovative Societies.”  

Tamat