Sabah terima lebih RM33 juta tingkatkan keterjaminan makanan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM33,593,226.00 daripada Menteri  Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu kepada  Timbalan Ketua Menteri I, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan  Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Gapari Kitingan, pada Jumaat. 

Dalam kunjungan hormat di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya itu turut dihadiri  Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup. 

Peruntukan itu adalah untuk melaksanakan usaha meningkatkan keterjaminan  makanan di negeri ini, antaranya pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan dan  pemulihan sawah-sawah padi terbiar. 

Sementara itu, Ketua Menteri turut merakamkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan  Persekutuan menerusi KPKM dalam membantu usaha kerajaan negeri meningkatkan  keterjaminan makanan di negeri ini. 

Beliau berkata, kerajaan negeri turut komited meningkatkan tahap sara diri (SSL) hasil  pertanian terutamanya padi termasuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras  Sabah selain melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan SSL beras daripada  22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada tahun 2025. 

Katanya, ini termasuklah memberi penekanan kepada pembangunan padi tanah kering  iaitu penanaman padi bukit, pada tahun ini. 

Tamat