Pendekatan agresif noktahkan miskin tegar di Sabah

PAPAR: Kerajaan Negeri terus melakukan pendekatan bersifat agresif bagi  menoktahkan isu miskin tegar di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Katanya, kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Ketua Isi Rumah (KIR)  atau ahli isi rumah golongan miskin tegar ditawarkan pekerjaan yang seadanya,  melibatkan beberapa agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat swasta.  

Beliau berkata, langkah positif ini yang disifatkannya sebagai suatu proses  penghijrahan, berjaya mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah daripada 22,510 KIR  miskin tegar kepada hanya 5,379 KIR miskin tegar. 

“Kerajaan Negeri bertekad untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.  Pendekatan bersifat agresif ini akan terus kita lakukan bagi menoktahkan isu miskin  tegar di Sabah, insya Allah”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat  Negeri 1446H/2024M di Dewan Masyarakat Papar pada Ahad. 

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji  Mahiruddin merasmikan majlis sambutan itu.  

Hajiji berkata, ketibaan tahun baharu Hijrah yang diiringi dengan sambutan Maal Hijrah  diharap mampu menyemarakkan lagi semangat juang dan menggilap cita-cita dalam  jiwa semua umat Islam. 

“Bukan sahaja dalam mengejar impian dan harapan, tetapi juga dalam memikul amanah  yang dipertanggungjawabkan selaku anggota masyarakat, terutamanya sebagai  anggota dalam perkhidmatan awam yang berperanan sebagai penggerak dan  pelaksana program-program pembangunan negeri dan negara yang tercinta”, katanya. 

Beliau berkata, kisah-kisah dalam peristiwa Hijrah Rasulullah wajar dijadikan sebagai  iktibar, sumber inspirasi, dihayati dan contohi bersama oleh umat Islam dalam menjalani  kehidupan.

Katanya, sentiasa bermuhasabah diri wajar menjadi rutin kehidupan setiap muslim untuk  menanamkan rasa keinsafan dalam diri masing-masing, mempertingkatkan amalan dan  kewajipan terhadap Allah SWT, disamping memelihara hubungan baik sesama insan.  

Menurutnya, amalan dan kewajipan ini perlu dilakukan secara berterusan agar umat  Islam tidak terus hanyut dibuai mimpi, tiada daya dan upaya untuk mencipta kejayaan,  malahan terdedah kepada kelemahan dan perpecahan yang tidak berkesudahan.  

“Natijahnya, kita bukan sahaja kurang berdaya saing untuk mencipta perubahan dan  melakar kemajuan, malah kita akan terus diancam oleh situasi yang merugikan. Justeru  dalam mendepani dunia yang serba mencabar dewasa ini, kita sebagai ummah,  seharusnya lebih kuat dan berani mendepani apa jua situasi yang mendatang”. 

“Kerana dengan kekuatan dan keberanian itu, kita tidak mudah dikotak-katikkan,  dipengaruhi dan diadu domba. Para generasi muda yang bakal mewarisi pimpinan  negeri dan negara, harus terus melakukan yang terbaik sebagai warga yang menjunjung  tuntutan agama, bangsa dan negara. Semangat dan peristiwa hijrah yang sebenar tetap  menjadi paduan dan pedoman kepada seluruh ummah, walaupun telah berlalu lebih  seribu tahun”, katanya. 

Hajiji berkata, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”  mengajak umat Islam untuk terus bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan dan  kesejahteraan dalam kehidupan.  

“Lebih-lebih lagi, sebagai rakyat Malaysia, yang selama ini tertanam di hati sanubari kita,  agar sentiasa bermuhasabah diri, berusaha gigih bagi mencapai kejayaan; sama ada  untuk diri sendiri atau pun kejayaan untuk organisasi yang kita wakili, seterusnya  kejayaan untuk tanahair yang tercinta. Namun, matlamat akhirnya ialah kejayaan dan  kesejahteraan untuk dunia dan akhirat, inshaAllah”, tambahnya. 

Beliau turut mengajak seluruh rakyat agar memberikan komitmen setulusnya bagi  menjayakan pembangunan negeri ini. Ketepikanlah perbezaan, sebaliknya raikan  persamaan yang telah kita kongsi bersama selama ini.  

“Pupuklah semangat kekitaan, eratkan persaudaraan, bersama kita berusaha, ramai ramai kita bekerja, demi menjayakan misi dan visi Malaysia Madani serta Hala Tuju SMJ ke arah Negeri Sabah yang makmur dan sejahtera”, katanya. 

Tamat