Sabah mempunyai 1127 buah masjid, tertinggi di Malaysia

TAWAU: Negeri Sabah mempunyai sebanyak 1,127 buah masjid, yang tertinggi di  Malaysia, disamping memiliki sebanyak 1,221 buah surau, kata Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, mengikut rekod di Tawau sahaja terdapat 133 buah masjid dengan 103 buah  surau, berada ditempat kedua selepas Semporna yang mempunyai sebanyak 246 buah  masjid dan surau. 

Beliau berkata, walaupun Islam merupakan agama rasmi negara ini, namun rakyat  bukan beragama Islam bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. 

“Bukan bererti kalau kita mempunyai bilangan masjid yang banyak untuk beribadah, ia  sesuatu yang boleh merenggangkan keharmonian dan perpaduan di antara kaum dan  juga kepercayaan di negeri Sabah amnya dan negara kita khasnya”. 

“Kita mesti menjadi umat Islam yang berdisiplin, mempunyai moral yang cintakan  keadilan, perpaduan dan kemajuan. Ini mesti diterapkan pada diri umat Islam, supaya  imej agama Islam berada di tempat yang sewajarnya. Jangan kita jadikan agama ini  sebagai sesuatu yang boleh merosakkan hubungan ataupun tanggapan yang negatif  daripada kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam”, katanya. 

Hajiji berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Ar-Rahman  Bandar Sri Indah di sini pada Ahad. 

Katanya, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta sebagai  permulaan untuk pembinaan masjid itu bagi menampung kemudahan yang tidak  mencukupi di kawasan itu yang mempunyai kira-kira 10 ribu penduduk. 

Beliau berharap Masjid Ar-Rahman, Bandar Sri Indah, Tawau yang bakal dibina itu akan  menjadi masjid paling aktif dan berdaya saing sejajar dengan masjid-masjid sedia ada  di daerah Tawau, khususnya dari segi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan juga  perekonomian. 

“Saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat segera dimulakan bagi memastikan masjid  baru ini siap dibina sebagaimana yang dirancang dalam waktu yang telah ditetapkan”,  katanya.

Hajiji berkata, masjid merupakan rumah ibadah umat Islam yang mulia. Fungsi dan  peranannya dalam kehidupan umat Islam sangatlah penting dan berkait rapat dengan  perihal keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT, pencipta seluruh alam.  

Menurutnya, pembinaan sesebuah masjid atau surau dalam agama adalah sangat  dituntut, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai penduduk yang beragama Islam.  

Hajiji berkata, dalam konteks Malaysia, masjid merupakan sebuah institusi yang menjadi  nadi kepada aktiviti masyarakat Islam, sama ada di dalam sesebuah kampung atau pun  pekan dan juga bandar, ia tidak lagi dilihat sebagai rumah ibadah semata-mata, tetapi  juga sebagai pusat kemasyarakatan, keilmuan, termasuk pelbagai aktiviti sosial yang  berkaitan dengan kemajuan dan pembangunan ummah. 

“Misalnya, penyediaan ruang untuk program-program kelas mengaji Al-Quran, kelas kelas Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah, malah ada juga yang menyediakan ruang untuk  majlis-majlis kenduri kendara dan sebagainya. Justeru masjid kini menjadi pusat  serbaguna ke arah kemajuan dan pembangunan ummah, sesuai dengan keperluan dan  perkembangan semasa”, tegasnya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tawau,  Datuk Lo Su Fui dan keluarganya kerana bermurah hati mewakafkan tanah seluas 5  ekar untuk tapak Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah Tawau. 

Turut hadir ialah Menteri Sains. Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Haji Mohd.Arifin  Mohd.Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr.Haji Safar Untong,  Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang dan ADUN  Kukusan, Puan Rina Haji Jainal. 

Tamat