NTW mampu meningkatkan kemahiran tenaga kerja di Sabah

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Minggu Latihan Kebangsaan atau NTW seiring dengan  komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa dan memperkukuh pusat latihan bagi  melahirkan lebih ramai tenaga kerja separa mahir, mahir dan berpengetahuan bagi  memenuhi keperluan pelabur di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Justeru, beliau berkata untuk mencapai matlamat itu kerjasama dengan Kementerian  Sumber Manusia atau KESUMA dan HRD Corp boleh dilaksanakan dalam beberapa  cara untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat selain bertujuan memberi  kemudahan latihan kemahiran kepada rakyat negara ini 

“Antaranya, memperkenalkan lebih banyak kursus latihan yang relevan dengan  keperluan industri semasa dan masa depan di negeri ini. Selain itu, membangunkan  program latihan yang disesuaikan untuk pekerja separa mahir dan program ini boleh  merangkumi latihan praktikal di tempat kerja.  

“Kita juga boleh memperluaskan akses kepada latihan melalui platform pembelajaran  dalam talian. Ini akan membolehkan lebih ramai rakyat, terutamanya mereka yang  tinggal di kawasan luar bandar, untuk mendapat akses kepada peluang latihan yang  berkualiti tanpa perlu meninggalkan kawasan mereka. 

“Oleh itu, bagi merealisasikan semua inisiatif ini, kerjasama rapat dengan KESUMA dan  HRD Corp adalah sangat penting. Saya berharap NTW ini dapat dilaksanakan setiap  tahun manakala latihan atau program kemahiran terus diperkukuhkan lagi,” katanya.  Ketika merasmikan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 peringkat negeri Sabah  di Kompleks Jabatan Penjara Negeri Sabah, di sini pada Jumaat. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr  Mohd Arifin Arif. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata dengan sokongan KESUMA dan HRD Corp serta pihak  yang berkaitan, kempen kesedaran yang lebih meluas untuk menggalakkan lebih ramai  rakyat mengambil bahagian dalam program latihan dapat dilaksanakan dengan  sebaiknya. 

“Kerajaan negeri Sabah komited dalam usaha membudayakan pembelajaran sepanjang  hayat sesuai dengan objektif Minggu Latihan Kebangsaan dianjurkan. Saya amat  berbangga dengan inisiatif ini kerana setiap lapisan masyarakat dapat diberi peluang  untuk menambah pengetahuan khususnya dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri  Sabah,” katanya. 

Mengenai majlis itu, beliau berkata sebanyak 450 program percuma yang ditawarkan di  Sabah sempena NTW 2024 seperti sesi latihan, bengkel, dan seminar khusus untuk  meningkatkan kemahiran dan pengetahuan rakyat Sabah.  

“Oleh itu, NTW 2024 adalah platform terbaik untuk memperkenalkan semua inisiatif ini  kepada rakyat di negeri ini. Dengan adanya pengenalan terhadap program latihan yang  komprehensif dan inklusif seperti yang ditawarkan di NTW, kita mampu melahirkan  generasi pekerja yang bukan sahaja mahir tetapi juga berdaya saing di peringkat global.  

“Marilah kita bersama-sama menyokong NTW 2024 dan menjadikan budaya  pembelajaran sepanjang hayat sebagai tunjang utama dalam perjalanan kita menuju  kejayaan,” katanya. 

Tamat