Pembangunan pendidikan menjadi keutamaan dalam Hala Tuju SMJ

TUARAN: Kerajaan negeri memberi komitmen sepenuhnya dalam meningkatkan  pembangunan pendidikan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Katanya, pendidikan menjadi keutamaan kerana ia penting dalam melahirkan rakyat  yang berilmu dan berpengetahuan yang akan memacu pembangunan serta kemajuan  negeri.  

“Kerajaan negeri memberi penekanan utama ke atas pembangunan pendidikan bagi  memastikan rakyat negeri ini terus mendapat pendidikan yang terbaik dan sempurna.  Jika rakyat mempunyai pendidikan dan pelbagai kemahiran, ini akan membantu kita  membangunkan negeri ini. 

“Ini juga selari dengan salah satu teras dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah  Maju Jaya iaitu Modal lnsan dan Kesejahteraan Rakyat. Keterlibatan dan komitmen  semua pihak diperlukan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara  terutama dalam komitmen kerajaan bagi melahirkan modal insan yang berkualiti,  berkemahiran dan berdaya saing.  

“Kerajaan Negeri Sabah akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dan akses  pendidikan kondusif dapat dilaksanakan melalui kerjasama padu pelbagai pihak yang  ingin menyumbang bakti ke arah mempertingkat kecemerlangan pendidikan di negeri  ini,” katanya ketika merasmikan Bangunan Serbaguna Baharu Sekolah Jenis  Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Sin Tuaran di SJKC Chen Sin, Tuaran pada Sabtu. 

Katanya, kerajaan negeri tidak mengabaikan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira  bangsa dan agama, termasuk dalam aspek pendidikan. 

“Tidak kira sekolah Cina atau kebangsaan, kerajaan negeri akan terus membantu untuk  memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang sempurna. Malah, pelbagai  inisiatif kerajaan negeri sediakan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan  yang sempurna seperti biasiswa dan pinjaman selain bantuan one-off kepada pelajar  yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi. 

“Kerajaan negeri juga menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah untuk membantu  pelajar yang tidak mendapat bantuan biasiswa. Sebenarnya banyak inisiatif yang  disediakan kerajaan bagi membantu rakyat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memberi keutamaan untuk  membangunkan TVET di negeri ini dan ia akan diperluaskan ke seluruh negeri. 

“Anak-anak kita perlu diberi kemahiran dalam bidang teknologi agar mendapat peluang  yang sama seperti anak-anak lain di negara ini,” katanya. 

Mengenai majlis berkenaan, beliau berkata bangunan serbaguna baharu SJKC Chen  Sin itu mampu memberi keselesaan dan kesejahteraan prasarana pendidikan kepada  murid-murid di sekolah berkenaan. 

“Hari ini kita berasa gembira kerana dapat menyaksikan kejayaan pembinaan bangunan  serbaguna baharu sekolah ini. Malah, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2  juta untuk pembinaan ini kerana saya tahu kepentingan pendidikan. Saya tidak kira  sekolah jenis apa, tanpa mengira bangsa dan agama, jika untuk meningkatkan  pendidikan, saya akan bantu. 

“Bangunan ini juga adalah bukti hasil kerjasama padu daripada semua untuk  memastikan prasarana pendidikan yang kondusif khususnya kepada murid-murid  sekolah ini dapat disediakan,” katanya  

Bangunan serbaguna baharu empat tingkat dengan kos sebanyak Rm4.2 juta itu telah  siap pada bulan Ogos 2023 lalu. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan  pembelajaran kepada pelajar seperti bilik muzik, reka bentuk dan teknologi (RTB), multi media, sains dan perpustakan. 

Tamat