Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan komited majukan kampung-kampung

TUARAN: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-PH Plus komited memberikan kerjasama  penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha memajukan kampung-kampung di seluruh  negeri ini bagi mencapai pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau juga menyeru semua wakil rakyat di Sabah agar melibatkan Jawatankuasa Kemajuan  dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan  di luar bandar.  

Katanya, keterlibatan pemimpin akar umbi dapat membantu menyediakan perancangan  pembangunan yang lebih teratur, terselaras serta memenuhi keperluan sebenar rakyat. 

"Ini termasuklah bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya  (SMJ) sebagai agenda dan pelan pembangunan negeri ini. Hala Tuju SMJ adalah untuk  memulihkan semula ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK Siri  2/2024 Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan DUN Pantai Dalit, Tuaran dan  Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ di Grand Ballroom Shangri-La Rasa Ria Resort, pada  Khamis. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid  Jahim. 

Hajiji berkata, kebajikan rakyat termasuk pemilikan rumah merupakan keutamaan kerajaan  menerusi salah satu teras dalam Hala Tuju SMJ. Pelaksanaan Rumah Mesra SMJ sangat  bertepatan sekali, untuk mengeluarkan penduduk luar bandar daripada kemiskinan dan  memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.  

Menurutnya, selain memberi perhatian kepada sektor pertumbuhan utama dan pemulihan  ekonomi di Hala Tuju SMJ, kerajaan juga memberi tumpuan kepada teras kedua pelan  pembangunan tersebut, iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat termasuk memastikan  mereka mempunyai rumah. 

Hajiji berkata, bantuan Rumah Mesra SMJ telah dilancarkan pada tahun 2022, membabitkan  pembinaan 1,500 buah Rumah Mesra SMJ secara percuma untuk golongan miskin dan miskin  tegar khususnya yang tersenarai dalam sistem e-kasih dan mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri di 73 kawasan DUN di Sabah.

"Saya sering menekankan bahawa semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang  mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat. Golongan miskin tidak boleh dipinggirkan sama  sekali", tegasnya. 

Beliau juga mahu semua JKKK berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara  berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan dan kompetensi sebagai pemimpin dan  pentadbir di peringkat paling asas. Perpaduan dan kerjasama antara JKKK juga perlu dipelihara  dan ditingkatkan untuk menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang oleh  kerajaan.  

Katanya, perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah usaha untuk sentiasa mendekati  anggota masyarakat yang dipimpin, bagi mewujudkan persefahaman dan keyakinan rakyat  terhadap pemimpin dan kerajaan. Kesepakatan yang dibentuk dapat memastikan semua  perancangan dijayakan dengan sempurna dan menghasilkan impak untuk manfaat rakyat. 

Hajiji berkata, Pengerusi JKKK merupakan wakil kepada kerajaan untuk memberikan  penerangan dan maklumat yang tepat kepada masyarakat agar tidak mudah percaya dan  terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat  berbilang bangsa dan agama di Sabah. 

Beliau berkata, memandangkan pihak tertentu sentiasa cuba dan berusaha menafikan setiap  pembangunan dan agenda yang dilaksanakan oleh kerajaan, justeru pengerusi dan semua ahli  jawatankuasa JKKK memainkan peranan penting membantu kerajaan menepis semua dakwaan  yang tidak berasas itu.  

Penyerahan Surat Kuasa Enakmen Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023 kepada Dewan  Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Tawau dan Sandakan serta Pegawai- Pegawai  Daerah seluruh Sabah turut diadakan pada majlis itu. 

Tamat