Kerajaan laksana pelbagai inisiatif bagi meningkatkan SSL

RANAU: Kerajaan mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan Tahap Sara Diri  (SSL) hasil pertanian terutamanya padi bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan  di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan negeri telah  mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi di peringkat MAFFI bagi  membincangkan dan menangani isu-isu berkaitan keterjaminan makanan.  

“Ini kerana negeri Sabah pada masa ini hanya mencapai tahap sara diri sebanyak 22.8  peratus sahaja dan selebihnya masih bergantung kepada bekalan beras dari sumber  luar atau beras import. Dalam masa sama, keadaan cuaca yang tidak menentu amat  memberi kesan terhadap hasil pertanian, termasuk di negeri ini. 

“Justeru, pada 17 April lalu, Kabinet negeri bersetuju menghidupkan semula Lembaga  Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan pengeluaran dan  keselamatan makanan di negeri ini. Ia juga antara usaha kerajaan negeri meningkatkan  tahap sara diri beras. 

“Selain itu, pemberian insentif Pembajakan Sawah Padi dengan peruntukan sebanyak  RM18 juta antara inisiatif yang dilaksanakan dalam Bajet 2024,” katanya ketika  merasmikan Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan  Masyarakat Ranau di sini pada Rabu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri  Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey  Kitingan. 

Inisiatif lain yang turut diambil katanya termasuk pemulihan tanah sawah terbiar,  pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai,  pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada  semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta. 

Bagi meningkatkan lagi pengeluaran tanaman, beliau berkata kerajaan negeri melalui  syarikat berkaitan kerajaan seperti syarikat Sawit Kinabalu turut mengambil bahagian  dalam penanaman padi dengan kaedah moden untuk meningkatkan tanaman dan  bekalan beras tempatan.  

Katanya, Sawit Kinabalu telah menyediakan kawasan yang sesuai khusus bagi tujuan  tanaman padi .Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita dan banyak lagi yang lain  akan dilaksanakan bagi memastikan pengeluaran serta keterjaminan makanan di negeri  ini.  

“Saya juga berharap pemain-pemain sektor pertanian, penternakan, dan perikanan,  untuk terus meningkatkan pengeluaran hasil bagi menyediakan bekalan makanan  mencukupi, kepada masyarakat dan paling penting ambil segala peluang menerusi  pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan negeri,” katanya. 

Mengenai sambutan Pesta Kaamatan, beliau berkata pesta itu adalah salah satu acara  penting kepada rakyat Sabah, yang diraikan setiap tahun pada bulan Mei khususnya  oleh masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus.  

“Pesta Kaamatan ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan  dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama sebaliknya juga bagi menyatakan  rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha dalam  membantu meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi masyarakat.  

“Bagaimanapun masih ada suara-suara segelintir kumpulan yang tidak  bertanggungjawab dengan memperlekehkan dan menyalahkan apa juga usaha-usaha  murni kerajaan. 

“Saya yakin rakyat kini lebih matang dan tidak mudah terpengaruh. Saya menyeru  rakyat untuk terus bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik serta kemajuan  ekonomi demi kelancaran pembangunan di negeri Sabah,” katanya. 

Tamat