Pencapaian positif membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata  pencapaian ekonomi positif dalam tempoh tiga tahun lalu menunjukkan kesungguhan  Kerajaan Negeri mentadbir dan membangunkan Sabah. 

Berucap pada sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Sabah International  Convention Centre (SICC) di sini hari ini, Ketua Menteri berkata Sabah telah mencapai  beberapa kejayaan ekonomi melalui pelan tindakan pembangunan lima tahun - Hala Tuju  Sabah Maju Jaya. 

“Dengan kejayaan ini, saya berani mengatakan bahawa Sabah kini berada di landasan yang  tepat. Beberapa petunjuk ekonomi telah menunjukkan perubahan positif yang  mencerminkan masa depan yang lebih baik untuk Sabah. 

Sementara itu, beliau berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah bagi sambutan Aidilfitri  Madani Peringkat Kebangsaan 2024 bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga satu  pengiktirafan terhadap kepelbagaian kaum, etnik serta budaya dan agama di negeri ini yang  kesemuanya dapat hidup bersama secara harmoni. 

"Kami mempunyai rakyat dari pelbagai latar belakang, agama dan kaum namun kami kekal  hidup harmoni. Kami menyambut semua perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Krismas,  Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Pesta Kaamatan. Inilah keunikan dan kekuatan Sabah,"  katanya. 

Hajiji berkata, sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan yang dihadiri daripada  segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin tertinggi negara dapat mengeratkan  hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat dan menyemarakkan semangat perpaduan. 

“Selari dengan semangat Malaysia Madani dan agenda besar Kerajaan Perpaduan di  bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertekad mengembalikan  kegemilangan nama negara di persada global, Sabah menyokong penuh perjuangan ini  demi negara dan kemakmuran rakyat.  

"Kami di Sabah percaya bahawa keharmonian kaum adalah kunci kepada kemakmuran. Ia  juga menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan perpaduan. Masyarakat yang  bersatu padu adalah masyarakat yang berdaya tahan terhadap unsur negatif yang  mengancam perpecahan," katanya. 

Tamat