Kerajaan Negeri prihatin, serius bantu masyarakat

TUARAN: Kerajaan Negeri amat prihatin dan serius dalam membantu masyarakat  negeri ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, sebagai negeri dan negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama,  amat penting rakyat terus meningkatkan keharmonian dan perpaduan. 

"Jangan biarkan anasir-anasir negatif menganggu gugat perpaduan dan keamanan  yang kita warisi daripada nenek moyang kita. Jadikanlah kepelbagaian ini untuk  memperkukuhkan lagi hubungan sesama rakyat di negeri ini", katanya 

Beliau berkata demikian pada Program Malaysia Union Mission (MAUM) Pathfinder  Camporee di Kem Istirehat Advent Dantai (KIAD) Lok Nunuk, pada Isnin. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk  Abidin Madingkir. 

Perkhemahan Pathfinder selama 5 hari yang julung kali diadakan itu disertai oleh  seramai 2,300 peserta dari negara Filipina, Thailand, Bangladesh, Singapura, India,  Semenanjung Malaysia dan Sarawak, dengan objektif untuk memupuk pertumbuhan  spiritual, intelektual, dan sosial dalam kalangan orang muda. 

Katanya, Kelab Pathfinder merupakan program rekreasi rohani yang direka khas untuk  remaja dan belia berusia 10 hingga 15 tahun dalam kalangan penganut Seventh-Day  Adventist, untuk memberdayakan orang muda, melatih mereka untuk kepimpinan dan  perkhidmatan kepada masyarakat serta untuk pembangunan holistik minda dan rohani  mereka. 

Hajiji berkata, dalam dunia yang semakin mencabar ini, kepimpinan yang efektif  merupakan asas kejayaan dalam menghadapi cabaran kompleks.  

Menurutnya, kepimpinan bukanlah hanya tentang gelaran atau kekuasaan, tetapi lebih  kepada tanggungjawab untuk berkhidmat dengan teladan yang membawa inspirasi  kepada yang lain. 

"Melalui latihan dan pengalaman dalam aktiviti Pathfinder, anak-anak kita dibentuk  untuk menjadi pemimpin yang mampu mengemudi perubahan, menyelesaikan masalah  dengan kreativiti, dan menyumbang ke arah masyarakat yang lebih baik", katanya.

Beliau berharap, anak-anak muda sentiasa bersemangat untuk mencapai potensi  sebenar, berusaha menjadi individu yang gigih, positif, dan proaktif dalam meraih impian  mereka. 

Hajiji percaya komitmen dan semangat belia yang menyertai Perkhemahan Pathfinder  itu dapat mengeratkan persaudaraan, memupuk nilai-nilai mulia, dan menjauhi gejala  negatif sekali gus menjadikan mereka sebagai aset berharga kepada negara. 

"Mari kita terus mengukuhkan semangat kepimpinan, memperkukuh keupayaan diri,  dan berusaha bersama sebagai satu komuniti yang teguh dan berdaya saing", tegasnya. 

Tamat