Statistik 8 daerah termiskin di Sabah berdasarkan rekod tiga tahun lalu – Hajiji

TUARAN: Statistik kemiskinan tegar lapan daerah termiskin di Sabah, termasuk Tuaran  yang dilaporkan sebelum ini dibuat berdasarkan rekod tiga tahun yang lalu. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, jika diambil kira rekod  terbaharu pada tahun ini, statistik ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di daerah terbabit  sudah jauh berkurang. 

Katanya, bagi daerah Tuaran saja rekod terkini setakat bulan lalu hanya ada lebih 600  KIR miskin tegar berbanding kira-kira 1,000 KIR yang dilaporkan tiga tahun yang lalu. 

Beliau berkata, penurunan itu adalah hasil usaha dan inisiatif yang dilaksanakan  kerajaan pimpinannya dalam memerangi kemiskinan tegar sepanjang kira-kira tiga  tahun memerintah negeri. 

“Sekarang pembangkang guna isu Tuaran daerah termiskin di Sabah, tapi saya mahu  jelaskan itu ialah ukuran tiga tahun yang lalu, saya dimaklumkan ada 1,000 lebih KIR  miskin tegar di Tuaran pada masa itu”. 

“Tetapi, yang terbaharu sekarang ini saya dimaklumkan bahawa jumlah KIR miskin tegar  sudah berkurang kepada 600 lebih saja di Tuaran”. 

“Maknanya, kerajaan memandang serius masalah kemiskinan tegar dan berusaha  membantu golongan itu melalui pelbagai cara, bukan saja bantuan rumah, malah  dibantu memulakan perniagaan kecil-kecilan supaya statistik mereka dapat diturunkan,”  katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua  Menteri di Masjid An-Nur, Tuaran, di sini, pada Jumaat. 

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan lapan daerah termiskin di  Sabah ketika ini iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran,  Ranau dan Lahad Datu. 

Hajiji berkata, statistik keseluruhan KIR di Sabah setakat 24 Mac lalu pula hanya  berjumlah 13,172 orang KIR, berbanding 22,510 orang KIR yang dilaporkan tiga tahun  lalu.

“Ini bermakna kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan ini adalah keutamaan  kita. Dalam kita merancang pembangunan besar, kita tidak lupa golongan miskin tegar”. 

“Kita ada sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang ditugaskan menangani isu  kemiskinan di Sabah. Antaranya melaksanakan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang  mana, dua tahun berturut-turut kita beri 1,500 rumah setahun kepada mereka yang  tersenarai dalam e-kasih”. 

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 20 rumah, jadi sekarang ini  sudah ada 3,000 rumah diberi kepada golongan miskin tegar yang ada dalam senarai  e-kasih,” katanya. 

Katanya, perkara itu adalah antara usaha yang dibuat kerajaan, namun pembangkang  hanya pandai bercakap macam-macam untuk memburukkan usaha kerajaan Gabungan  Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus. 

Sementara itu, Hajiji berkata segelintir pemimpin pembangkang di Sabah ketika ini  pernah bersama dalam kerajaan sebelum ini, namun hanya mahu membolot jawatan. 

“Saya tidak mahu menyalahkan atau merendahkan kawan kita di sebelah sana  (pembangkang), siapa suruh mereka ke sebelah sana, melainkan ada sebab yang saya  tidak mahu cakap di sini sekarang”. 

“Minta jadi Menteri Kewangan dan jawatan lain. Kalau agensi kerajaan yang penting penting, pengerusinya semua mereka bolot. Dulu mereka hingga empat menteri dan  enam pembantu menteri sedangkan parti saya sendiri hanya tiga menteri dan tiga  pembantu menteri,” katanya. 

Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak yang dimaksudkan selain menjelaskan  bahawa apa yang disebutkan itu adalah fakta bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh  dengan dakyah mereka. 

Hajiji berkata, beliau juga menyedari pembakang sudah mula mengatur strategi untuk  menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berdasarkan serangan demi serangan yang  ditujukan kepadanya dan kerajaan. 

“Mereka (pembangkang) sekarang berabis, mereka ingat besok PRN.. lama lagi ini,  hampir dua tahun lagi. Maklumlah mana tahu Ketua Menteri mahu bubar DUN”. 

“Sebab itulah sekarang kita lihat tidak peduli puasa hentam saja (menyerang kerajaan),”  katanya. 

Tamat