Slogan Sabah Maju Jaya ajak rakyat Sabah cintai kemajuan dan kejayaan

KOTA KINABALU: Slogan Sabah Maju Jaya (S.M.J) yang kini menjadi sebutan ramai, merupakan frasa ringkas dengan mesej besar mengajak setiap rakyat di negeri ini mencintai kemajuan dan kejayaan. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, akronim Sabah Maju Jaya dipilih sebagai hala tuju pembangunan negeri ini kerana mahu mengangkat slogan yang telah lama berada pada Jata Negeri ke kedudukan yang lebih tinggi. 

Namun beliau merasa sedikit terkilan apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang sering mempersenda dan memperlekeh slogan keramat itu, melalui tulisan atau komen-komen di dalam media sosial. 

"Niat dan hasrat kita ialah mengangkat dan menjulang tinggi slogan keramat Sabah Maju Jaya dari Jata Negeri yang setiap masa terlihat dan terbaca oleh kita, tetapi ramai pula yang memperlekehkannya dan memandang rendah usaha murni yang kita perjuangkan itu". 

"Pada saya, mempersenda dan memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya, samalah sifatnya seperti tidak menghormati, atau tidak menyayangi bahkan menghina negarinya sendiri", katanya pada Majlis Amanat dan Perhimpunan AnggotaPerkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin. 

Hajiji berkata, negeri-negeri lain termasuk di negara jiran-Indonesia, juga mempunyai slogan mereka tersendiri. Contohnya Sarawak memperkenalkan slogan “Sarawak Maju Makmur” bagi melonjakkan kemajuan negeri. Selangor menggunakan“Kita Selangor Maju Bersama”. 

Menurutnya. Terengganu menggunakan istilah “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera”. Melaka memperkenalkan slogan “Bijak Laksana Tuah, Berani LaksanaJebat”, manakala Negeri Kedah menggunakan “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua”.Negara Indonesia mengangkat slogan “Terus Melaju Untuk IndonesiaMaju”". 

"Hakikatnya, kita perlu bertekad cemerlang serta tekun berusaha, lebih-lebih lagi selaku anggota perkhidmatan awam yang komited dan bertanggung jawab untuk menjadikan Sabah lebih maju dan rakyatnya berkemajuan".

"Apa juga isu dan cabaran yang mendatang, kita perlu mengarunginya bersama dengan cekal dan bijaksana. Jangan mudah terpengaruh dengan adu domba atau provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu melihat kitaterusbertelingkah. Kita perlu berikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha menjadikan Sabah lebih maju dan berjaya", tegasnya. 

Hajiji berkata, setelah hampir 3 tahun pelaksanaannya, Hala Tuju SMJ telah dapat membawa negeri Sabah ke landasan yang tepat untuk terus maju dan membangun menerusi beberapa petunjuk ekonomi memperlihatkan kejayaan dan mencerminkan kewibawaan dalam mentadbir dan mengurus ekonomi negeri. 

"Selaras dengan komitmen dan semangat Hala Tuju SMJ, pada tahun lalu, kita berjaya merekodkan hasil kerajaan negeri tertinggi dalam sejarah, yang berjumlah RM6.973 bilion. Sebenarnya, momentum itu telah kita mulakan sejak mengemudi kerajaan negeri dengan merekodkan jumlah hasil negeri yang besar iaitu RM5.449 bilion pada 2021 dan RM6.960 bilion pada tahun 2022. Sejak menerajui Sabah, Kerajaan Negeri telah berjaya mencatat rekod cemerlang disegi kutipan hasil tertinggi dalam sejarah selama tiga tahun berturut-turut". 

"Kejayaan itu pasti didorong oleh kerja keras para penjawat awam yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang. Syabas kepada mereka yang sentiasa bekerja keras, dan terima kasih kerana komitmen semuatelahmenghasilkan kejayaan yang berterusan", tambahnya. 

Selain memperoleh hasil negeri yang tinggi, Hajiji berkata, Sabah juga berjaya mencatat peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion, disamping rekod dagangan antara yang tertinggi dalam sejarah, berjumlah RM118.1 billion pada tahun 2022. 

Hajiji opitimis, dengan beberapa pencapaian dan prestasi ekonomi negeri yang positif dan semakin pulih, Sabah mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi sekitar 4 peratus tahun ini. 

Tamat