Sokongan kerajaan Perpaduan bantu rancakkan ekonomi negeri, Bumiputera Sabah

PUTRAJAYA: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin dengan  iltizam politik yang tinggi dan sokongan padu daripada kerajaan Perpaduan di peringkat  Pusat, matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menggalakkan pertumbuhan  ekonomi negeri dan merancakkan ekonomi masyarakat Bumiputera di Sabah, akan  lebih mudah tercapai.  

Beliau berkata, dasar Hala Tuju SMJ yang bertekad memperkasakan sektor pertanian,  perindustrian dan pelancongan, senada dengan 3 Ikhtiar yang disyorkan bagi  melonjakkan ekonomi Bumiputera, iaitu mewujudkan perbadanan tanah Bumiputera,  mewujudkan wakaf pendidikan, kesihatan dan kebajikan, dan mengindustrikan  pertanian. 

“Begitu juga dengan Enam Tekad Transformasi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera  yang diperkenalkan dalam kongres ini, terutama Tekad Kedua dan Ketiga iaitu Menutup  Ketirisan Pelaksanaan Dasar dan Mewujudkan Kesetaraan Antara Wilayah/Kaum dan  Kelompok, amat tepat pada masanya,” katanya ketika berucap sempena Kongres  Ekonomi Bumiputera 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa  Putrajaya, di sini pada Sabtu. 

Sehubungan itu, Hajiji berharap apa juga resolusi yang digarap daripada kongres ini,  akan turut mengambil kira kepentingan masyarakat Bumiputera di Sabah. 

“Saya juga berharap, apa juga pendekatan yang diambil bagi memperkasa ekonomi  Bumiputera Sabah, wajar kaedah atau pendekatan itu diinstitusikan dibawah kawal selia  entiti Kerajaan Negeri Sabah.  

“Ini bagi memberikan mandat kepada Sabah untuk mengkoordinasi dan menerajui  program-program pembangunan sosioekonomi secara efisien, efektif dan bersinergi,”  katanya. 

Beliau turut menaruh harapan yang tinggi, bahawa kepimpinan negara di bawah  Kerajaan Perpaduan ini, benar-benar komited untuk terus membela nasib kaum  Bumiputera seluruh negara, termasuklah di Sabah.

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan bilangan Bumiputera mencecah  sehingga 90% daripada jumlah penduduknya, kami di Sabah mempunyai aspirasi yang  amat tinggi untuk bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia menikmati  kemakmuran dan kemajuan ekonomi negara. 

“Ini bukan sahaja menyokong ekonomi akar umbi Bumiputera di Sabah tetapi juga  meletakkan asas kepada model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk  komuniti Bumiputera. Dengan kata lain, pemerkasaan ekonomi khususnya bagi  Bumiputera di Sabah, mestilah selari dengan pembangunan jaringan infrastruktur  sebagai pembolehdaya utama,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri beriltizam untuk menutup rapat jurang kemiskinan yang  telah lama menyelubungi ramai Bumiputera di Sabah, dan bertekad membawa  perubahan kepada kehidupan rakyat yang dahagakan pembelaan, khususnya yang  berada nun jauh di pedalaman. 

“Kami tidak lagi mahu ketinggalan, bahkan kami sentiasa berharap agar kek  kemakmuran dapat dikongsi bersama dalam satu keluarga besar Malaysia. Jangan kita  jadikan Laut China Selatan itu sebagai pemisah atau penghalang kepada kemajuan dan  kesejahteraan bersama,” katanya. 

Sehubungan itu katanya, visi kerajaan negeri adalah untuk memastikan usaha  pemerkasaan ekonomi Bumiputera Sabah diinstitusikan dan meraih pengiktirafan  identiti unik bagi Sabah dalam konteks Malaysia.  

“Seperti yang kita sedia maklum, faktor geografi merupakan salah satu halangan yang  berupaya melambatkan proses pembangunan dan hal ini berlaku di Sabah. Ia bukan  saja menghambat pertumbuhan ekonomi dan melewatkan proses pembangunan, tetapi  juga membatasi aktiviti perekonomian serta sosial masyarakat Bumiputera, terutama di  pedalaman.  

“Selain itu, mengembangkan rangkaian infrastruktur yang kukuh adalah penting untuk  ekonomi Sabah, terutamanya dalam meningkatkan perhubungan antara kawasan  pedalaman dan pusat bandar. Ini bukan sahaja menyokong ekonomi akar umbi  Bumiputera di Sabah tetapi juga meletakkan asas kepada model pembangunan yang  lebih inklusif dan mampan untuk komuniti Bumiputera. 

“Justeru, saya percaya dengan memperkasakan ekonomi Bumiputera di Sabah melalui  penyediaan latihan, pendidikan berkualiti, peningkatan literasi digital dan kewangan,  serta melengkapi kemahiran yang diperlukan, di samping kemudahan infrastruktur  sebagai keperluan asas, akan membolehkan mereka mampu untuk bersaing di  peringkat nasional kalau pun tidak di pentas global,”katanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim telah menyempurnakan majlis  perasmian penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024. 

Tamat