Jasa dan sumbangan besar mendiang Sari Nuar Tan terus dikenang

KOTA KINABALU: Mendiang Datuk Seri Panglima Sari Nuar Tan merupakan tokoh  yang banyak meninggalkan jasa dalam pembangunan pendidikan dan ekonomi negeri  ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, mendiang bukan  hanya seorang pemimpin yang berjaya, juga seorang visioner yang amat prihatin  terhadap pembangunan pendidikan dan kesejahteraan sosial ekonomi negeri ini. 

Katanya, dalam bidang pendidikan, Sari Nuar Tan menjadi pelopor dalam pembangunan  pendidikan di negeri ini termasuklah dalam menyediakan biasiswa, dan menggalakkan  pengembangan program-program pendidikan dengan matlamat utama agar setiap anak  Sabah memiliki akses untuk mendapat pendidikan berkualiti, tanpa dibatasi jarak dan  status ekonomi.  

Beliau berkata, semasa menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah  (SM) Kian Kok dari tahun 1984 hingga 2014, banyak inisiatif dilakukannya untuk  membantu pelajar, termasuk memberikan biasiswa kepada anak-anak ahli yang  cemerlang dalam akademik.  

“Sumbangannya tidak hanya membantu membentuk generasi muda yang  berpengetahuan, malah beliau turut berusaha untuk mengurangkan jurang kemiskinan  dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini”, katanya pada  Perhimpunan Peringatan Mendiang Datuk Seri Panglima Sari Nuar Tan di Dewan SM  Kian Kok pada Isnin. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk  Abidin Madingkir. 

Hajiji berkata, ketika hayatnya, Sari Nuar Tan juga pernah memegang pelbagai jawatan  dalam beberapa pertubuhan, termasuklah Presiden Dewan Perhimpunan Cina Sabah,  Presiden Dewan Perniagaan Cina Sabah, Presiden Dewan Perniagaan Cina Kota  Kinabalu, Pengerusi Persatuan Hokkien Kota Kinabalu dan lain-lain.  

“Beliau telah meninggalkan legasi cemerlang dalam pembangunan pendidikan dan  sumbangan besar dalam membangunkan Sabah secara keseluruhan. Jasa dan  sumbangan mendiang akan terus dikenang dan dihargai oleh Kerajaan Negeri”,  katanya. 

Tamat