Kumpulan Yayasan Sabah beri peruntukan besar untuk pengajian

GEORGE TOWN: Sebanyak RM67.4 juta diperuntukkan Kumpulan Yayasan Sabah  pada tahun ini, bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah melanjutkan pengajian  di dalam dan luar negara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata jumlah peruntukan itu meningkat berbanding sebanyak RM53.8 juta pada  tahun lalu sekali gus membuktikan komitmen ni menunjukkan usaha kerajaan negeri  untuk meningkatkan taraf kualiti kehidupan dan pendidikan rakyat negeri Sabah. 

“Agenda pembangunan pendidikan di Sabah sentiasa diberikan keutamaan oleh  Kerajaan Negeri, justeru itu, pelbagai inisiatif bantuan diperkasa termasuk untuk anak anak dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi  pengajian tinggi.  

“Antara inisiatif tersebut ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan  Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI), manakala Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah pula,  Kerajaan Negeri telah menambah dana biasiswa daripada RM50 juta kepada RM100  juta bagi meringankan beban mahasiswa mahasiswi yang melanjutkan pengajian ke  Institusi Pengajian Tinggi.  

“Semua itu kita sediakan demi anak-anak Sabah serta demi kemajuan dan  kecemerlangan sektor pendidikan ke arah membentuk modal insan yang cemerlang.  Saya berharap pelajar-pelajar kita akan merebut peluang dari pelbagai inisiatif yang  disediakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi Institusi  Pengajian Tinggi di Semenanjung di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang, di  sini pada Isnin. 

Katanya, sejak tahun 1967 hingga 2023, Kumpulan Yayasan Sabah telah menyediakan  pelbagai bantuan melalui pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian  tinggi.  

“Seramai 124,141 pelajar Sabah yang mengikuti pelbagai disiplin ilmu sama ada di  institusi pengajian tinggi di dalam mahupun ke luar negara, telah mendapat bantuan  dengan perbelanjaan berjumlah RM952.2 juta,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelajar-pelajar agar meningkatkan ilmu  pengetahuan dalam pelbagai aspek yang boleh membantu untuk pembangunan negeri  Sabah pada masa hadapan.  

“Mahasiswa dan mahasiswi semua adalah pemimpin masa hadapan negeri dan negara.  Apabila tamat pengajian nanti, Sabah dan negara memerlukan penyertaan dan  keterlibatan siswa siswi semua dalam membawa negeri dan negara ke arah kemajuan  yang lebih tinggi. 

“Ini kerana siswa-siswi semua akan menjadi golongan pelapis serta sumber modal insan  untuk masa hadapan, yang akan menyambung legasi pembangunan negeri Sabah.  Sebab itu dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, pembangunan  modal insan antara teras utama yang diberi perhatian,” katanya. 

Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkasakan inisiatif-inisiatif sedia ada bagi  memastikan anak-anak Sabah mendapatkan pendidikan yang baik dan sempurna sekali  gus mampu menjadi pemimpin pelapis yang serba boleh dan berdaya saing. 

Program itu dihadiri kira-kira 1,400 pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi di  utara Semenanjung. 

Yang turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif;  Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan Pengerusi  Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Jasnih Daya. 

Tamat