RM4.5 juta untuk naiktaraf lorong-lorong jalan Kg. di Sulaman

TUARAN: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk  menaiktaraf lorong-lorong jalan kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri  (DUN) Sulaman, tahun ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, lorong-lorong yang  jaraknya antara 100 meter hingga 300 meter akan dinaiktaraf demi keselesaan dan  kemudahan rakyat. 

"Ini antara kemudahan yang kita rancang dan akan dilaksanakan dalam kawasan DUN  Sulaman tahun ini, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk tujuan  itu". 

"Banyak lagi kemudahan infrastruktur yang akan kerajaan buat dari masa ke semasa  dalam kawasan Sulaman dan juga kawasan-kawasan yang lain", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peniaga Kecil dan Penjaja  Kawasan Sulaman di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di sini pada  Sabtu. 

Seramai 125 peniaga kecil dan penjaja di bahu-bahu jalan kawasan Sulaman menerima  bantuan wang tunai RM5000 daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan  Pelaburan Sabah (SEDIA) dan peruntukan Sentuhan Kasih Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN). 

Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, Kerajaan Negeri juga komited untuk  mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah yang kini mempunyai lebih 22 ribu Ketua Isi  Rumah (KIR) miskin tegar di negeri ini. 

Menurutnya, Kerajaan telah mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi agensi kerajaan dan para pelabur asing dan tempatan yang membuka kilang di Sabah  mengambil anak-anak daripada kalangan keluarga termiskin tegar sebagai pekerja. 

Katanya, dengan inisiatif itu disamping pengembelingan usaha daripada kementerian kementerian, jabatan-jabatan dan agensi berkaitan, kerajaan berharap dapat  menoktahkan masalah kemiskinan tegar.

Menyentuh bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja, beliau berkata ia merupakan  antara usaha kerajaan membela nasib golongan tersebut. 

Beliau berharap bantuan itu dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka,  sekaligus membantu meningkatkan pendapatan untuk diri dan keluarga. 

"Peniaga kecil dan penjaja perlu rajin berusaha untuk meningkatkan taraf hidup  keluarga", tegasnya. 

Turut hadir Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan, Ketua  Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Haji Abdul Kassim Razali, Setiausaha Politik  Menteri Kewangan, Datuk Haji Johari Saiman dan Pegawai Daerah Tuaran, Encik  Hadzlan Jablee. 

Tamat