RM16.89 juta untuk program, aktiviti membangun & perkasa belia Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM16.89 juta untuk  melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan  keusahawanan bagi membangun dan memperkasa belia di Sabah tahun ini, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, tahun lalu sahaja kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.48 juta  kepada Persatuan Belia di Sabah yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan  Sabah (KBSS), dengan sebanyak RM1.2 juta dikhususkan kepada Majlis Belia Sabah  (MBS) untuk melaksanakan program pembangunan belia.  

Menurutnya, tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100.17 juta untuk  perbelanjaan mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.  

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited terhadap pembangunan belia di negeri ini  kerana mahu melahirkan generasi belia yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan  kepemimpinan bagi mencapai kesejahteraan sosio-ekonomi.  

“Pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan pertumbuhan  ekonomi negeri. Pentingnya ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk  menyokong peralihan sektor ekonomi ke aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan  inovasi”, katanya pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Kali Ke-26 dan  Malam Apresiasi MBS di Pacific Sutera Harbour Resort pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya,  Datuk Ir. Shahelmy Yahya. 

Hajiji berkata, belia perlu dipersiapkan dengan ilmu, kepimpinan dan kemahiran agar  mereka mampu memimpin dan membawa masyarakat kepada kebenaran dan keadilan. 

Justeru katanya, amat penting kekuatan setiap agensi yang terbabit dalam  pembangunan belia diselaraskan dan dilaksanakan mengikuti keperluan setempat bagi  menyantuni para belia mengikut kesesuaian potensi dan kemahiran mereka.

“Saya berharap organisasi belia di negeri ini dapat terus diperkasakan agar lebih ramai  yang mendapat manfaat daripada organisasi belia. Penekanan terhadap integriti perlu  dipertingkatkan agar sesebuah organisasi dapat berjalan dengan lancar dan mencapai  objektifnya”, tegasnya. 

Beliau percaya apabila golongan belia mampu menguruskan sistem dengan baik, maka  sesebuah organisasi itu mampu untuk mendepani masa depan dengan baik. Banyak  cabaran di hadapan yang memerlukan belia yang dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan  kemahiran untuk menangani isu-isu sebenar dunia.  

“Dalam hal ini, belia perlu mengambil manfaat untuk berkolaborasi dengan sebanyak  mungkin organisasi bagi mencari solusi dan penyelesaian untuk masyarakat sejagat”,  katanya. 

Hajiji juga mahu MBS selaku rakan strategik KBSS dan Jabatan Belia dan Sukan  (Persekutuan) Negeri Sabah bersama-sama memainkan peranan penting dalam  menggembleng potensi belia Sabah sama ada di bandar atau luar bandar. 

Tamat