Menetapkan KPI, pelan perniagaan lima tahun untuk tingkatkan prestasi kewangan

KOTA KINABALU: Menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap anak syarikat bagi  memastikan prestasi operasi dan kewangan mereka dapat diukur, di samping  mengemukakan pelan perniagaan lima tahun, antara langkah diambil Innoprise  Corporation Sdn Bhd (ICSB) bagi memantau prestasi anak-anak syarikat dengan rapi. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Jawatankuasa  Pengurusan Khas juga telah ditubuhkan bagi mengenal pasti beberapa pelaburan  baharu yang akan dilaksanakan dengan tujuan mempelbagaikan perniagaan ICSB. 

“Sukacita saya maklumkan bahawa Keuntungan Sebelum Cukai (Sebelum audit)  Kumpulan ICSB pada 2023 adalah sebanyak RM470 juta. Prestasi baik ini sudah  semestinya atas daya kepimpinan di semua peringkat pengurusan dan khidmat bakti  seluruh warga Kumpulan Yayasan Sabah.  

“Kesan pengisytiharan dividen yang konsisten serta urus tadbir pengurusan kewangan  dan perakaunan yang baik ini telah memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini  menerusi agihan seperti biasiswa dan bantuan sosial.  

“Oleh itu, bagi memastikan ICSB akan sentiasa dapat memberi dana kepada Yayasan  Sabah, maka pengurusan perlu sentiasa memantau prestasi anak-anak syarikat  mereka,” katanya ketika merasmikan Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah di  Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Rabu malam. 

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah itu Kumpulan ICSB telah  mempamerkan daya tahan dan kebolehsuaian dalam persekitaran perniagaan yang  mencabar pada tahun 2023, dengan hampir semua sektor yang diceburi anak-anak  syarikat mencatatkan pulangan memberangsangkan pada tahun lalu. 

“Sektor agro perladangan terutamanya Sabah Softwoods Berhad, Innoprise Plantations  Berhad, Benta Wawasan Sdn. Bhd dan Silam Forest Products Sdn. Bhd. Mencatatkan  keuntungan gabungan sebanyak RM215 juta bagi tahun 2023, sekali gus menjadi  penyumbang utama keuntungan Kumpulan ICSB bagi tahun 2023 iaitu sebanyak 46  peratus. 

“Dalam pelancongan, Tanjong Aru Hotel Sdn. Bhd. (STAR), Innoprise Jungle Lodge  Sdn. Bhd. dan Borneo Nature Tours Sdn. Bhd. menyumbang 12 peratus daripada  jumlah keuntungan Kumpulan ICSB dengan keuntungan gabungan sebanyak RM56 juta  bagi tahun 2023.  

“Sektor minyak, gas dan tenaga melalui NRG Consortium (Sabah) Sdn. Bhd. Mengakhiri  tahun 2023 dengan keuntungan sebanyak RM24.05 juta, menyumbang 5 peratus  daripada keuntungan Kumpulan ICSB bagi tahun 2023,” katanya. 

Katanya, sektor perhutanan khususnya Rakyat Berjaya Sdn. Bhd, Norsechem (Sabah)  Sdn. Bhd. dan Innovision (PNG) Limited juga mengakhiri tahun 2023 dengan  keuntungan gabungan sebanyak RM13 juta, menyumbang 3 peratus daripada  keuntungan Kumpulan ICSB bagi tahun 2023. 

“Pembayaran dividen keseluruhan anak-anak syarikat kepada ICSB bagi tahun 2023  dijangkakan sebanyak RM195 juta, iaitu 8.6 peratus lebih rendah berbanding tahun  2022. Penurunan ini disebabkan Harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang lebih rendah  dalam pasaran berbanding tahun 2022. Namun, tahun lalu menyaksikan peningkatan  kadar dividen dalam sektor pelancongan,” katanya. 

Beliau berkata penambahan peruntukan perbelanjaan untuk program sosial kepada  RM49.89 juta pada 2023 atau peningkatan sebanyak 22.5 peratus berbanding tahun  2022 yang berjumlah RM 40.74 juta, bukti komitmen Kumpulan Yayasan Sabah dalam  membawa pembangunan rakyat di negeri ini. 

“Dalam pendidikan, Kumpulan Yayasan Sabah berjaya menyediakan pelbagai tajaan  dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pada tahun 2023 kepada seramai  4,859 pelajar baharu dan yang sedang belajar dengan peruntukan berjumlah RM40.93  juta. 

“Setakat tahun 2023, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan dalam  tahun 2022 telah memberi manfaat kepada 2,897 orang pelajar dengan jumlah dana  disalurkan sebanyak RM3.86 juta,” katanya sambil menambah usaha agresif kutipan  bayaran balik pinjaman menghasilkan kutipan yang tertinggi setakat ini berjumlah  RM6.56 juta. 

Hajiji berkata sebanyak 22 inisiatif Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya  (SMJ) telah dilaksanakan pada tahun 2023, dengan pencapaian prestasi keseluruhan  97 peratus.  

“Kumpulan Yayasan Sabah juga akan terus menjadi peneraju dalam usaha  pemuliharaan alam sekitar, yang akan memberi sumbangan besar kepada  pembangunan negeri ini dan generasi akan datang,” katanya. 

Tamat