KM: Kerajaan pastikan keamanan negeri kekal terpelihara

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan keamanan dan  ketenteraman yang dikecapi rakyat berbilang kaum di negeri ini terus kekal terpelihara,  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata keamanan itu memberi peluang kepada rakyat untuk menyambut dan  meraikan perayaan serta kebudayaan masing-masing seperti Tahun Baharu Cina,  dalam keadaan harmoni. 

“Kerajaan negeri juga akan terus memberi sokongan untuk memastikan kepelbagaian  perayaan dan kebudayaan rakyat dapat dipertahankan sekali gus terus diwarisi generasi  akan datang. 

“Kita bersyukur kerana rakyat Malaysia di Sabah, terutamanya yang berketurunan  Tionghua akan menyambut Tahun Baharu Cina pada tahun ini, iaitu Tahun Naga dalam  suasana aman, harmoni dan penuh kegembiraan. 

“Semoga kehadiran tahun baharu ini membawa lebih banyak kemajuan ekonomi dan  kemakmuran kepada rakyat serta negeri ini, selain meningkatkan lagi pelbagai sektor  termasuk industri pelancongan, pelaburan serta pembangunan modal insan,” katanya  dalam perutusannya sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024, di sini pada Khamis. 

Hajiji dalam perutusannya turut menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada  semua masyarakat Tionghua di negeri ini. 

“Bagi pihak kerajaan negeri dan keluarga, saya mengucapkan Selamat Menyambut  Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada semua masyarakat Tionghua dan yang  meraikannya di negeri ini,” katanya. 

Tamat