Kejayaan Prof Dr.Justin Sentian harumkan nama Sabah, Malaysia

KOTA KINABALU: Kejayaan anak kelahiran Ranau, Profesor Dr. Justin Sentian melakar  sejarah selaku rakyat Malaysia pertama dan paling lama menjalankan ekspedisi  penyelidikan musim sejuk di Antartika telah mengharumkan nama Sabah dan Malaysia,  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, Sabah amat berbangga dengan pencapaian Dr.Justin dari Universiti Malaysia  Sabah (UMS) yang turut mengibarkan bendera negeri Sabah bersama-sama bendera  negara sepanjang tempoh 7 bulan penyelidikan di Antartika. 

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr.Justin kerana beliau merupakan  Saintis Malaysia pertama yang melaksanakan penyelidikan itu di Antartika. Pencapaian  ini amat membanggakan kita". 

"Lebih istimewa lagi ialah Bendera Sabah turut dikibarkan di Antartika", katanya semasa  menerima kunjungan Dr.Justin bersama Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS,  Prof.Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan  Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, Encik Abd Shukor Jamaluddin di pejabatnya di  Menara Kinabalu pada Selasa. 

Dr. Justin telah mengembalikan Bendera Sabah yang telah dikibarkan di Antartika  kepada Hajiji sebagai simbolik kejayaan melengkapkan Ekspedisi Penyelidikan Musim  Sejuk di Antartika. Bendera Sabah yang sama telah diberikan oleh Hajiji semasa  kunjungan hormat Dr Justin pada 10 Mac 2023, sebelum beliau berlepas ke Antartika.  

Dr. Justin dari Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS menjalankan ekspedisi penyelidikan  semasa musim sejuk dengan cuaca ekstrem di Antartika selama tujuh bulan, antara 21  Mac hingga 27 Oktober 2023, sekaligus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia paling  lama berada di benua paling sejuk dunia itu.  

Sepanjang di Antartika, beliau telah tinggal dan melakukan kajian di stesen Profesor  Julio Escudero milik negara Chile yang terletak di Pulau King George, Antartika. 

Ekspedisi itu yang julung-julung kali diadakan,dianjurkan oleh Yayasan Penyelidikan  Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Antartika Chile  (Instituto Antártico Chileno (INACH)). Dr. Justin telah menerima geran penyelidikan khas  bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk projek berkaitan perubahan iklim bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan  Cuaca Melampau’.  

Kajian tiga tahun yang dijalankan dengan kerjasama INACH dan University of Santiago  ini mengkaji peranan halokarbon reaktif terhalogen dalam kimia ozon permukaan dan  keadaan meteorologi di bawah keadaan cuaca musim sejuk yang melampau.  Halokarbon merupakan gas rumah hijau yang boleh menyumbang kepada perubahan  iklim, dan ia juga bertanggungjawab terhadap kehilangan ozon stratosfera sejak  beberapa dekad kebelakangan ini. 

Dr. Justin telah memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan  dan beberapa spesies gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di  Antartika. Beliau juga berjaya mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan  air laut untuk kajian kandungan spesis halocarbon seperti bromokarbon dan  sebagainya. 

Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, banyak cabaran yang dihadapinya,  terutama dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat  ekstrem.  

“Ada ketika suhu udara mencapai – 44 darjah celcius dan kelajuan angin dengan ribut  salji mencecah kelajuan 120 km/jam. Hasil kajian ini diharap akan dapat memberi impak  signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesis hidrokarbon dan halokarbon  dalam keadaan cuaca ekstrem pada musim sejuk”. 

“Di samping itu, ia dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu baharu bukan sahaja  dalam kalangan saintis kimia atmosfera, tetapi juga kepada seluruh masyarakat  tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu  semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika”, katanya menceritakan  pengalaman membuat penyelidikan di Antartika. 

Tamat