KM: Politiking berterusan tidak menguntungkan sesiapa

KOTA KINABALU: Politiking secara berterusan tidak menguntungkan sesiapa malah  hanya akan merugikan rakyat dan negara, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Haji Hajiji Haji Noor. 

Sebab itu beliau berkata, kerajaan negeri yang dipimpinnya terus fokus untuk  merealisasikan dan memenuhi aspirasi rakyat yang mengutamakan kemajuan,  pembangunan dan kesejahteraan hidup. 

“Politiking yang berterusan hanya merugikan rakyat dan negara. Sekarang ini adalah  masanya untuk bekerja, berkhidmat dan berbakti untuk memenuhi aspirasi rakyat. 

“Kerajaan negeri juga akan sentiasa bersama-sama pimpinan kerajaan Persekutuan  dalam berjuang dan membela nasib rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara  ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam sempena lawatan rasmi Kerajaan  Negeri Selangor bersama Kerajaan Negeri Sabah di Sabah International Convention  Centre (SICC) di sini, pada Selasa. 

Majlis itu turut dihadiri Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah  Salag. Hadir sama Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin  Seri Masdiana Mohamed. 

Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah tetap komited untuk terus menyokong kepimpinan  Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 

“Pendirian ini telah kita tegaskan sekali lagi beberapa minggu yang lalu, bila mana  terdengar desas desus wujudnya Langkah Dubai, yang konon hendak menukar  kerajaan pusat kepada satu lagi kerajaan yang baharu.  

“Bagi kita, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini berfungsi dengan cukup baik dan  cukup berkesan, justeru perlu didukung sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan  kesinambungan pembangunan ekonomi negara.

“Kita juga akan terus bekerja dan berjuang untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan  rakyat, sehingga tempoh pemerintahan kerajaan sekarang berakhir pada September  2025,” katanya. 

Sehubungan itu katanya, fokus dan tumpuan kerajaan negeri i sekarang ini ialah untuk  `Merealisasi Aspirasi Rakyat' sebagaimana yang telah ditegaskan semasa persidangan  agung Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat, pada bulan November  lepas. 

“Tekad dan iltizam kita jelas, iaitu untuk mengutamakan kemajuan dan pembangunan  negeri, disamping sentiasa bersama-sama dengan pimpinan Kerajaan Persekutuan - dalam berjuang dan membela nasib rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara  Malaysia yang tercinta,” katanya. 

Beliau turut berkongsi mengenai pencapaian Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),  PH Plus sejak tiga tahun mentadbir negeri Sabah.  

“Dalam tempoh dua tahun berturut-turut, Sabah telah mencatat kadar pertumbuhan dan  kutipan hasil negeri yang amat positif.Kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion  pada 2021 dan RM6.96 bilion pada 2022, mencatat sejarah sebagai kutipan hasil  tertinggi sejak merdeka.  

“Selain itu, Sabah juga telah mencatat rekod perdagangan tertinggi pada kadar  RM118.1 bilion pada tahun 2022, dan angka tersebut dijangka akan terus meningkat  naik untuk 2023 dan 2024 ini. 

“Paling ketara ialah jumlah pelaburan dari dalam dan keluar negara yang kini mencecah  RM33 bilion, menunjukkan bahawa usaha-usaha yang digalas oleh Kerajaan Negeri  sejak tiga tahun lalu, untuk memulihkan ekonomi negeri setelah terjejas teruk akibat  serangan pandemik Covid 19 telah berjaya dan membawa hasil yang cukup baik,”  katanya.  

Sambil mengalu-alukan kedatangan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri  Selangor serta rombongan, Ketua Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih  kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memilih Negeri Sabah sebagai lokasi  Program Pemukiman atau retreat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun  2024 ini. 

“Mewakili kepimpinan kerajaan negeri, saya mengharapkan agar jalinan kerjasama dan  persefahaman antara Sabah dengan Negeri Selangor Darul Ehsan, dalam apa jua  bidang dan lapangan, akan dapat terus diperkukuhkan lagi pada masa-masa akan  datang,” katanya. 

Tamat