Peruntukan untuk badan keagamaan bukan Islam, sekolah persendirian meningkat

KOTA KINABALU: Peruntukan untuk pembangunan badan-badan keagamaan bukan  Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian di Sabah  meningkat sebanyak RM2.7 juta tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM56.75 juta untuk tujuan itu  pada tahun 2024 berbanding sebanyak RM54.05 juta pada tahun 2023. 

Beliau berkata, daripada RM56.75 juta itu, sebanyak RM24.15 juta untuk sekolah sekolah dan RM32.6 juta untuk perkembangan badan-badan keagamaan bukan Islam.  

“Ini bermakna terdapat peningkatan sebanyak RM2.7 juta berbanding peruntukan pada  tahun 2023. Peningkatan ini juga menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat prihatin  dan serius dalam membantu masyarakat di negeri Sabah tanpa mengira kaum, bangsa  dan agama”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa  sempena Tahun Baharu Cina 2024, anjuran Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersekutu  Kota Kinabalu (USCCAKK) di Sabah International Convention Centre (SICC) pada  Sabtu. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/ Menteri Kerajaan  Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam. 

Katanya, tahun ini Kerajaan Negeri juga memperuntukkan bantuan sebanyak RM1.5  juta untuk membekal kepala singa di seluruh Sabah. 

Menurutnya, bantuan ini akan diagih-agihkan kepada pelbagai persatuan dan tokong tokong yang berkaitan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri  ini.  

Beliau berkata, penyerahan bantuan kepala singa sempena Tahun Baharu Cina jelas  menunjukkan komitmen kerajaan yang sentiasa menekankan dasar keadilan dan  kesaksamaan dalam semua aspek, terutamanya dalam penyaluran peruntukan dan  sumbangan, bagi memastikan rakyat dapat meraikan perayaan masing-masing.

Hajiji turut memuji USCCAKK kerana tanpa gagal menganjurkan Festival Tarian Naga,  Unicorn dan Singa sempena Tahun Baharu Cina setiap tahun. Acara itu dinanti-nantikan  oleh masyarakat Cina dan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.  

Sempena Tahun Baharu, beliau mengajak semua rakyat negeri ini termasuk masyarakat  Tionghua agar terus bersama-sama kerajaan membangun dan memajukan negeri ini,  agar Sabah terus maju jaya ke hadapan. 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada masyarakat Cina atas  sokongan berterusan anda dalam berganding bahu bersama kami untuk memakmurkan  negeri ini”, tegasnya. 

Hajiji berkata, tahun 2024 merupakan Tahun Naga dalam Zodiak Cina, yang terkenal  dengan kuasa, kehebatan dan keberaniannya. 

“Saya berharap sifat semula jadi Naga ini menjadi pemangkin semangat untuk kita  meneruskan agenda pembangunan untuk memulihkan ekonomi, melaksanakan semua  perancangan serta mencari peluang yang baik untuk negeri dan rakyat”, tambahnya. 

Tamat