Keharmonian, perpaduan kunci kesejahteraan & kemakmuran negeri

TUARAN: Keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah menjadi kunci  kepada kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, rakyat berbilang kaum dan bangsa di negeri ini saling hormat menghormati  dan meraikan setiap perayaan dan kebudayaan bersama dengan penuh harmoni. 

Beliau mengambil contoh, Perayaan Tahun Baru Cina (CNY) bukan hanya disambut  oleh masyarakat Tionghua di Sabah, malah pelbagai suku kaum lain di negeri ini turut  bersama-sama meraikannya. 

"Inilah keunikan di negeri Sabah kerana rakyat daripada pelbagai suku kaum dan  budaya dapat bersama-sama menyambut sesuatu perayaan dengan penuh harmoni  dan meriah". 

"Keharmonian dan persafahaman ini telah kita warisi dari nenek moyang dan ianya  hendaklah terus dipertahankan dan diwarisi oleh generasi muda", katanya ketika  merasmikan Tuaran 2024 Dragon, Unicorns & Lions Dance Festival di Padang Dataran  Tuaran pada Ahad.  

Hajiji berkata, kepelbagaian itu juga memboleh rakyat berbilang kaum negeri ini hidup  aman damai dan harmoni. 

"Kita di Sabah boleh menjadi contoh dan teladan kepada negeri-negeri lain di Malaysia  dalam soal persefahaman dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan budaya",  tegasnya. 

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) komited  membangunkan negeri ini dan rakyatnya tanpa memilih bangsa dan agama. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan  Alam Sekitar Negeri akan menganjurkan sambutan Perayaan CNY tahun ini bagi  memeriahkan lagi suasana perayaan itu.

Turut hadir di majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam  Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit,  Datuk Jasnih Daya, Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh dan pemimpin  masyarakat setempat. 

Tamat