Kinabalu UNESCO Global Geopark beri manfaat penduduk setempat

KOTA BELUD: Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) mampu memberi manfaat  dan limpahan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat terutama kepada kira-kira 291,300 penduduk di tiga daerah yang terlibat. 

Dengan keluasan 4,750 kilometer persegi, KUGGP yang meliputi daerah Kota Belud,  Kota Marudu dan Ranau, juga membabitkan sebanyak 423 kampung. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kewujudan geopark ini  akan memberi banyak peluang kepada komuniti terutama dalam meningkatkan  pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan pengekalan budaya di kawasan terbabit. 

“Sudah pasti ini memberi manfaat besar seperti peluang perniagaan, pekerjaan dan  pelancongan. Kewujudan geopark ini boleh memberi manfaat kepada pesawah padi di  Kota Belud, pekebun kelapa di Kota Marudu dan pekebun sayur di Kundasang, Ranau.  

“Antaranya, adalah melalui pendekatan seperti peluang pemasaran ke seluruh dunia  yang sekali gus meningkatkan jumlah kemasukan pelancong ke kawasan Geopark.  Selain itu, program pendidikan dan kesedaran mengenai amalan kelestarian di kawasan  Geopark, dapat memberi nilai tambah kepada hasil pertanian.

“Peningkatan infrastruktur di kawasan Geopark akan membawa kepada pembangunan  jaringan jalan raya dan kemudahan awam, yang memudahkan pengangkutan hasil  pertanian, selain peluang perniagaan seperti homestay. Ini mencipta peluang pekerjaan  baharu seperti pemandu pelancong yang akan diisi oleh anak-anak tempatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemashyuran Kinabalu UNESCO  GLobal Geopark (KUGGp) dan Pelancaran Sambutan Jubli Intan Taman-Taman Sabah  di Dataran Kota Belud, di sini pada Sabtu. 

Ketua Menteri berkata, pengiktirafan sebagai geopark itu juga adalah satu pencapaian  yang baik bagi kerajaan negeri di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya melalui  Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri serta Taman-Taman  Sabah.  

“Jelas sekali, Hala Tuju SMJ adalah selari dengan konsep Geopark dan sudah pasti  kawasan ini bakal menjadi destinasi Geo-pelancongan global pada masa akan datang.  Justeru, tiga tumpuan utama geopark iaitu pemuliharaan sumber alam, pembangunan infrastruktur asas dan penjanaan sosioekonomi rakyat tempatan yang mendiami  kawasan ini, perlu diberi penekanan.  

“Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 juga telah diterima daripada  Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah. Selanjutnya  kita akan bawa untuk dibincangkan di Jemaah Kabinet Negeri Sabah untuk mendapat  persetujuan sekali gus boleh diterima-pakai oleh kerajaan negeri,” katanya. 

Sehubungan itu beliau menggesa semua pihak terutama penduduk di persekitaran  Geopark ini turut berganding bahu dengan pihak kerajaan memelihara khazanah negeri  ini daripada dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.  

“Ia kerana pengiktirafan ini adalah satu lagi pencapaian yang amat bermakna kepada  negara khususnya negeri ini dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi  serta pengurusan mampan kawasan geopark yang memiliki nilai antarabangsa. 

“Ini adalah khazanah kekayaan negeri Sabah untuk kita pelihara dan gunakan sebagai  modal pembangunan ekonomi khususnya dalam sektor pelancongan untuk mendapat  manfaat yang berterusan daripadanya,” katanya. 

Kinabalu geopark telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan  atau UNESCO di Paris pada 24 Mei 2023. 

Tamat