Hajiji & Juliah hadiri Majlis Istiadat Bersanding Putera Mateen, Dayang Anisha

BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor dan isteri Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Istiadat  Bersanding Pengantin Diraja anakanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka  Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang  Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran  Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah binti Adam di Balai  Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman pada Ahad. 

Sejurus selesai istiadat bersanding, Pengantin Diraja diarak mengelilingi ibu kota Brunei,  Bandar Seri Begawan. 

Hajiji dan Juliah juga akan menghadiri Majlis Persantapan Diraja yang akan diadakan di  Balai Persantapan, Istana Nurul Iman pada Isnin (15 Januari 2024). 

Majlis-majlis bagi Istiadat Perkahwinan Diraja dimulai dengan Majlis Istiadat Bersuruh  Diraja yang diadakan pada 7 Januari, 2024 dan diikuti dengan Majlis Istiadat Membuka  Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari 2024; Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan  Pertunangan Diraja, dan Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja  pada 9 Januari 2024; Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja pada 10 Januari 2024; 

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari 2024; Majlis Istiadat Bersanding  Pengantin Diraja dan seterusnya Pengantin Diraja diarak sekeliling Bandar Seri  Begawan diadakan pada 14hb Januari 2024; Majlis Persantapan Diraja pada 15 Januari  2024; Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga akan  diadakan pada 16 Januari 2024. 

Tamat.