Sabah sasar capai 42% enrolmen pelajar dalam STEM menjelang 2025

KENINGAU: Sabah mensasarkan mencapai kadar enrolmen semasa pelajar dalam  subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebanyak 42 peratus  menjelang tahun 2025. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pada masa ini Sabah  yang merekodkan enrolmen semasa pelajar STEM sebanyak 28 peratus, berada di  tempat kedua terbelakang dalam kedudukan national. 

Beliau berkata, isu enrolment merupakan salah satu isu akar umbi yang perlu  diselesaikan dan dengan momentum program yang berterusan oleh pihak kerajaan  serta sokongan masyarakat termasuk ibu bapa, Sabah dijangka akan mencapai sasaran  sebanyak 42 peratus kadar enrolmen menjelang tahun 2025. 

“Usaha ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk memberikan  pendidikan terbaik kepada rakyat Sabah, khususnya berkaitan STEM dalam usaha  melahirkan modal insan yang berkualiti”, katanya pada Majlis Perasmian Pusat Sains  Keningau di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau pada Selasa.  

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian,  Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Datuk  Kitingan. 

Hajiji berkata, Kerajaan sentiasa mengambil berat berkaitan dengan tahap  kesiapsediaan golongan muda mendepani arus perubahan global yang sukar  dijangkakan, terutama berkaitan trend pekerjaan masa depan kerana menjelang tahun  2027 dijangkakan 69 juta pekerjaan baharu berkaitan STEM akan dicipta, manakala 83  juta pekerjaan sedia ada akan dihentikan.  

“Pelbagai usaha pembudayaan sains juga telah dilaksanakan melibatkan kerjasama  bersama rakan strategik daripada negeri dan persekutuan serta agensi dalam dan luar  negara dengan objektif untuk memupuk pelajar meminati subjek STEM seterusnya  cenderung untuk memilih laluan kerjaya dalam bidang tersebut”.

“Dengan pendidikan yang terbaik termasuk menguasai sains, teknologi dan inovasi, kita  berupaya untuk mengubah kualiti hidup rakyat yang pada akhirnya akan menyumbang  kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah. Ia juga sejajar  dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi  penekanan kepada pembangunan modal insan”, tegasnya. 

Katanya, penubuhan pusat sains sebagai hab ilmu yang interaktif, inspiratif, dan inklusif  bagi membawa pembelajaran sains kepada tahap yang lebih tinggi, merupakan satu  inisiatif progresif kerajaan yang bertujuan melonjakkan arus pembangunan ilmu  pengetahuan dan teknologi di negara ini khususnya di Sabah.  

Menurutnya, Ia merupakan satu langkah yang dilaksanakan dengan tekad dan visi yang  tinggi oleh kerajaan, memandang kepada keperluan mendesak untuk memajukan  pendidikan sains dan teknologi di kalangan rakyat.  

Hajiji berkata, Pusat Sains Keningau yang bernilai RM3.0 juta melalui peruntukan  pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12, bukanlah semata-mata sebuah bangunan,  ia adalah simbol kecekalan dan daya kreativiti dalam mengajar sains melalui  pendekatan yang tidak konvensional, sebaliknya konsep hands-on, minds-on, hearts-on  yang diperkenalkan merupakan satu bentuk revolusi dalam pengajaran dan  pembelajaran sains. Usaha ini untuk mencetuskan minat dalam kalangan pelajar,  membawa mereka ke dalam aliran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik  (STEM). 

Katanya, penubuhan pusat sains ini juga adalah usaha kerajaan untuk memberi peluang  sama rata kepada pelajar dan masyarakat di pedalaman atas. Ia merupakan langkah ke  arah menyamakan taraf pengalaman sains dalam kalangan pelajar bagi memastikan  tidak ada jurang pengalaman dan keciciran antara mereka yang tinggal di bandar dan  di kawasan pedalaman.  

“Ini juga dapat membentuk dan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja terampil  dalam bidang STEM tetapi juga mempunyai daya kreativiti dalam mencipta inovasi,  semangat kewirausahaan dalam mengkomersialkan hasil karya, seterusnya memberi  impak ekonomi yang besar kepada kawasan setempat khususnya daerah Keningau”,  tambahnya. 

Tamat