SAIP kini dibawah SEDCO

KOTA KINABALU: Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) kini diletak dibawah Sabah  Economic Development Corporation (SEDCO), agensi dibawah Kementerian  Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri (KPPKN). 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha untuk  memastikan pengurusan SAIP dialihkan dibawah tanggungjawab agensi dan  kementerian yang bersesuaian merupakan perancangan Kerajaan Negeri hari ini yang  bertujuan mentransformasikan hala tuju SAIP menjadi sebuah entiti yang komersial.  

"Saya bersyukur kerana hasrat Kerajaan Negeri ini sudah memasukki fasa peralihan  pengurusan kepada agensi yang dapat memainkan peranan untuk mengkomersialkan  SAIP apabila perjanjian-perjanjian ditandatangani pada hari ini". 

"Inisiatif dan usaha KPPKN dalam memastikan Pengurusan SAIP diambilalih oleh  agensi dibawahnya amat dihargai. Syabas dan tahniah kepada SEDCO serta  pengurusannya kerana menerima sahutan Kerajaan Negeri untuk mengambil dan  meletakkan SAIP dibawahnya, meskipun industri agro bukan salah satu sektor  perniagaan utama SEDCO", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Tripartite Ambilalih  Pengurusan SAIP diantara Sabah Economic Development and Investment Authority  (SEDIA), Institute For Development Studies (IDS) dan SEDCO serta Memorandum  Persefahaman Penubuhan Pusat Pemeriksaan di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency  Kota Kinabalu pada Jumaat. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/ Menteri Pertanian,  Perikanan dan Industri Makanan Negeri (MAFFI), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey  G.Kitingan. 

Hajiji berkata, SEDCO sudah berada di persada ekonomi negeri sejak tahun 1971 dan  memainkan peranan dalam sektor-sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan dan  pembangunan sosio ekonomi dalam masyarakat perdagangan dan perindustrian  Bumiputera. 

Menurutnya, dalam tempoh 50 tahun, SEDCO telah membantu menggerakan  pembangunan ekonomi negeri, di bandar- bandar utama seluruh pelusuk Sabah dan  merupakan perintis yang telah mengevolusikan ekonomi daerah-daerah kecil dan  terpencil dengan pembinaan rumah-rumah kedai serta lot-lot komersial mampu milik. 

Justeru beliau yakin dan percaya , dengan peralihan SAIP di bawah SEDCO, sektor  agrotani bukan sahaja menjadi perniagaan portfolio baharunya, malahan akan menjadi  perniagaan yang mampan dan berdaya maju, kerana SEDCO telah banyak membantu  kerajaan memacu ekonomi negeri ke tahap yang membanggakan. 

"Dengan termeterainya perjanjian ini, SEDCO akan dapat bergerak ke hadapan dan  memastikan SAIP ditransformasi menjadi sebuah entitii komersial yang mandiri dan  mampan. Ini seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri yang komited untuk menjadikan  SAIP sebagai salah satu lagi pemacu ekonomi negeri ini. Yang penting, menerusi  peralihan ini, lebih banyak bidang baharu yang berkaitan dapat diterokai", jelasnya. 

Hajiji berharap dengan menggalas tanggungjawab yang baharu dalam sektor agro,  SEDCO dapat membantu menjadi pemangkin dalam meningkatkan bekalan makanan  di Sabah, sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Negeri 2024, untuk  terus meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian bagi memastikan tahap sara diri  (self-sufficiency level) semua bekalan bahan makanan terus meningkat.  

Katanya dengan fasiliti di SAIP, SEDCO boleh memberikan tumpuan menghasilkan  produk-produk farmaseutikal melalui R&D menggunakan tanaman herba tempatan dan  penghasilan produk makanan kesihatan.  

"Kedua-dua produk ini akan dapat membantu dalam meningkatkan skala bisnes para  peniaga di Sabah bukan sahaja bagi pasaran tempatan, juga untuk pasaran  antarabangsa", katanya. 

Hajiji berkata, pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi menerusi Pelan  Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memasuki tahun kedua  pelaksanaannya pada tahun ini sudah mula membuahkan hasil.  

Menurutnya, ekonomi negeri telah mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1  peratus pada tahun 2021 berbanding dengan penguncupan 9.2 peratus pada tahun  2020, mencerminkan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ berupaya mendorong negeri  ini meningkatkan momentum pertumbuhan positif pada kadar yang lebih baik. 

Hajiji juga mahu MAFFI yang memainkan peranan besar dalam menangani bekalan dan  keselamatan makanan negeri Sabah, menjalin kerjasama yang jitu dan utuh dengan  kementerian-kementerian dan agensi lain untuk menghebatkan lagi hasil dan  kepelbagaian pemakanan melalui agrotani. 

Tamat