Hajiji mahu kemudahan & fasiliti perubatan di Sabah pada tahap optimal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu  Kerajaan Persekutuan memastikan kemudahan-kemudahan dan fasiliti-fasiliti  perubatan di Sabah berada di tahap yang optimal.  

Katanya, Kerajaan Negeri juga maklum bahawa peralatan-peralatan yang ada di  hospital telah melebihi jangka hayat operasi dan mahu ianya digantikan dengan  peralatan perubatan yang baharu bagi memenuhi keperluan pelbagai disiplin  perkhidmatan baharu. 

“Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat lebih banyak fasiliti perubatan  dan hospital-hospital pakar dibangunkan serta penambahan doktor pakar agar rakyat di  negara ini menikmati kemudahan perubatan yang lebih selesa dan berkesan”. 

“Ini termasuk penambahbaikan dan penaiktarafan klinik-klinik kesihatan awam di Sabah  dapat dipertingkatkan kerana ini akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik  khusus untuk masyarakat di luar bandar negeri ini”, katanya pada Majlis Anugerah  Sedafiat Tahun 2023 di The Grand Ballroom, Magellan Sutera Harbour pada Isnin. 

Katanya, dalam usaha untuk memastikan sektor kesihatan di negeri ini terus  dipertingkatkan, kerajaan negeri mengalu-alukan Belanjawan 2024 yang dibentangkan  Perdana Menteri pada Oktober lalu yang memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk  membina lima buah klinik kesihatan baharu termasuk di Pulau Mantanani, Kota Belud.  

“Sesungguhnya keprihatinan Kerajaan Persekutuan amat dihargai kerana kemudahan  ini sudah lama dinantikan-nantikan oleh penduduk di pulau berkenaan”, katanya. 

Hajiji berkata, Sedafiat Sdn.Bhd telah memainkan peranan yang amat penting sebagai  syarikat peneraju perkhidmatan sokongan di hospital bagi memastikan rakyat negeri ini  mendapat kemudahan kesihatan yang baik, sekaligus dapat menyumbang kepada  produktiviti. 

Beliau berkata, sebagai penerajui perkhidmatan sokongan di hospital, menjadi  tanggungjawab warga Sedafiat untuk bersama-sama kerajaan dalam memberikan  perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada rakyat, selain sentiasa menambah  baik tadbir urus syarikat.

“Saya merakamkan tahniah Sedafiat kerana melaksanakan Program Sedafiat  Technology Innovation & Creativity (STIC) yang mampu memberikan produktiviti serta  kualiti kerja yang bermutu tinggi untuk mempertingkatkan lagi penyampaian  perkhidmatan syarikat kepada masyarakat”, tegasnya. 

Menurutnya, sepanjang perkhidmatannya, syarikat itu telah memberikan perkhidmatan  yang cemerlang sehingga menerima beberapa anugerah antaranya Prestasi Cemerlang  Perkhidmatan Sokongan Hospital bertaraf lima (5) bintang daripada Kementerian  Kesihatan Malaysia selama 6 tahun berturut-turut (tahun 2018 sehingga 2023), Sabah  Top Achievers Award 2019 (Industry Excellence in Hospital Support Services) pada  2019; Malaysia Top Achievers Award 2019 (Industry Excellence in Hospital Support  Services) pada 2019; The Brand Laureate 2022 Bumiputera Best Brands Awards pada  tahun 2022 dan The Brand Laureate 2022-2023 CEO OF THE YEAR, Integrated Facility  Management pada tahun 2023. 

Hajiji berkata, melalui program Karnival Sukan Sedafiat yang disertai seramai 380 orang  kakitangan, menunjukkan warga Sedafiat mementingkan kesihatan tubuh badan dan  persekitaran yang sihat bagi mencapai kualiti pekerjaan.  

Tamat