KM: Kita kuat jika kita bersatu

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan Sabah selagi rakyat bersatu. 

"Sebagai Ketua Menteri, saya komited untuk melihat Sabah yang kita cintai kekal  bersatu, makmur, dan inklusif. Kita akan kuat hanya apabila kita bersatu. 

"Tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan kita sebagai rakyat Sabah. Dengan  bersatu, kita akan dapat melawan sebarang percubaan untuk menjejaskan kestabilan  dan untuk memastikan pembangunan dapat diteruskan tanpa halangan," katanya dalam  perutusan Tahun Baharu 2024. 

“Saya berasa terharu dan bersyukur kepada orang ramai dan semua penyokong yang  sehaluan yang telah menyokong kami, percaya dengan keikhlasan kami untuk  melakukan yang terbaik untuk Sabah. 

"Mari kita mengetepikan politik dan buang sebarang perpecahan yang hanya akan  memecahbelahkan. Kita mesti melangkah ke tahun baharu dengan azam, bersatu  dalam kepelbagaian, dan komited untuk melakukan yang terbaik mengikut mandat yang  diberikan oleh rakyat," katanya. 

Dengan sokongan daripada rakyat, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah  mengorak langkah yang baik dalam memajukan pelan pembangunannya iaitu Hala Tuju  Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Di ambang Tahun Baharu ini, sudah tiba masanya untuk merenung kembali tahun lalu  dan menanti kedatangan tahun baru dengan harapan dan keyakinan. Walaupun  menghadapi pelbagai cabaran (pada 2023), kita tetap teguh dalam melaksanakan  agenda SMJ dan terus berada di landasan. Komitmen kita terhadap pertumbuhan akan  terus kekal dan tidak berbelah bahagi," katanya. 

Hajiji berkata dalam Belanjawan Sabah 2024 yang telah diluluskan baru-baru ini,  berjumlah RM5.701 bilion, adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk memacu  pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah. 

“Kita telah menyasarkan banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh negeri dalam  semua sektor. Kita akan terus membina kejayaan dan mengejar peluang pelaburan baharu untuk mewujudkan spin-off ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan  kepada rakyat," katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata semua kejayaan dan rancangan ini tidak akan bermakna  tanpa gabungan usaha dan komitmen semua serta persekitaran yang kondusif untuk  mencapai matlamat pembangunan itu. 

Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam Kabinet, penjawat  awam dan rakyat Sabah atas sokongan berterusan mereka dan mengucapkan selamat  tahun baru kepada semua. 

Tamat