Sebanyak RM27.13 juta untuk pembangunan dan mengurus industri sukan, tahun depan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM27.13 juta bagi  mengurus dan membangunkan industri sukan di negeri ini, pada tahun hadapan. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata peruntukan ini juga  untuk memastikan lebih ramai lagi bakat-bakat muda dalam bidang sukan dilahirkan  bagi meningkatkan lagi kecemerlangan sukan di negeri ini. 

“Saya meminta Kementerian Belia dan Sukan negeri untuk terus menggalakkan  penglibatan rakyat khususnya bakat-bakat muda dalam bidang sukan bagi  meningkatkan lagi mutu dan kecemerlangan bidang sukan di negeri ini.  

“Adalah amat penting untuk kita melahirkan pelapis sebagai bakat baharu di semua  peringkat sukan. Perancangan ini adalah sebagai satu komitmen perancangan jangka  panjang untuk memenuhi bakat yang diperlukan, 

“Kerajaan komited memajukan sukan di negeri ini dan ia terbukti dengan pembinaan  serta penyediaan banyak prasarana kepada pengiat sukan. Usaha ini seiring dengan  visi kita untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.” Katanya ketika merasmikan Sukan Sabah  (SAGA) edisi ke-10 di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, pada Sabtu. 

Beliau juga merakamkan tahniah kepada semua atlet Sabah yang telah mengharumkan  nama negeri dan negara dalam beberapa acara sukan yang disertai di dalam serta luar  negara. 

“Saya juga sangat berbesar hati kerana berpeluang bersama dengan atlet dan penggiat  sukan pada malam ini.  

“Saya dimaklumkan Sukan Sabah kali ini disertai hampir 7,000 pengiat sukan termasuk  atlet dan pegawai. Ini adalah satu jumlah yang amat besar dan ini jelas menunjukkan  kesungguhan dan komitmen yang cemerlang kepada pengiat sukan untuk menjayakan,”  katanya. 

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan memastikan Sukan Sabah ini terus  diperkasa.

“Ini termasuklah dengan membuat penambahbaikan dalam semua aspek agar terus  relevan sebagai platform untuk mencungkil bakat dan melahirkan atlet berpotensi yang  boleh diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya. 

Beliau bagaimanapun meminta semua atlet agar tidak leka atau mudah berpuas hati,  dengan kejayaan yang diperolehi. 

“Sebaliknya semangat yang membara harus kita teruskan. Kita perlu terus bangkit  kerana Kerajaan Negeri juga akan menghantar atlet untuk menyertai temasya Sukan  Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada bulan Ogos 2024,” katanya. 

Tamat