Kerajaan negeri menyumbang RM300,000 untuk Tabung Palestin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyumbang RM300,000 untuk Tabung  Kemanusiaan Aman Palestin bagi membantu rakyat negara itu yang sedang menderita  akibat peperangan dan kekejaman rejim Zionis. 

Sumbangan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  pada program Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin anjuran bersama gabungan  badan bukan kerajaan (NGO) Sabah di Dewan Sa'adah, Wisma MUIS pada Sabtu. 

Selain sumbangan kerajaan negeri, pelbagai agensi, badan dan organisasi di negeri ini  turut menyumbang untuk tabung berkenaan yang setakat ini berjaya mengumpul  sebanyak RM355,000. 

Sementara itu, Hajiji menyifatkan perhimpunan yang dihadiri kira-kira 10,000 orang itu  sebagai sesuatu yang bersejarah untuk menunjukkan bahawa rakyat Sabah mengutuk  kekejaman rejim Zionis, selain menandakan semangat perpaduan dan solidariti rakyat  Sabah yang sukakan keamanan. 

"Kita menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka  daripada penindasan rejim Zionis di bumi mereka sendiri". 

"Kekejaman rejim Zionis tidak boleh diterima, rakyat seluruh dunia perlu mengutuk  tindakan Israel dan sekutunya yang selama ini menindas Palestin". 

"Kita mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan untuk  menghentikan kekejaman Zionis Israel. Mereka melakukan kekejaman berpuluh tahun,"  katanya. 

Beliau berkata, tindakan Hamas melakukan serangan balas terhadap Israel mempunyai  sebab yang jelas kerana berdekad lama rakyat Palestin ditindas, diseksa dan wilayah  mereka diceroboh Israel. 

"Tapi dunia barat dengan pengaruh media mereka melihat seolah-olah rakyat Palestin  dan Hamas sebagai satu kumpulan pengganas sedangkan mereka adalah pejuang  Palestin yang mahu membebaskan negara mereka".

"Oleh itu kita minta PBB mesti melakukan sesuatu untuk menghentikan kekejaman  Israel. Kita tidak sanggup melihat setiap detik bumi Gaza dibom hingga ramai rakyat  termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua terbunuh". 

"Ini tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi ia berlaku pada zaman moden. Kita tidak boleh  tahan dengan tindakan tidak berhati perut dan tidak berperi kemanusiaan. Masyarakat  dunia perlu melakukan sesuatu untuk hentikan Israel," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata rakyat Sabah tanpa mengira kaum memberi sokongan  padu kepada rakyat Palestin dan menyatakan simpati terhadap penderitaan yang  mereka alami. 

"Atas sebab itu kita mesti mengambil tanggungjawab bagaimana membantu mereka.  Kalau tidak boleh berperang tapi kita mesti lakukan sesuatu beri bantuan dan semangat  kepada Palestin," tegasnya. 

Hajiji berkata, kejadian dahsyat yang berlaku di bumi Gaza perlu menjadi iktibar kepada  seluruh rakyat Malaysia di Sabah. 

Katanya, rakyat negeri ini mesti merapatkan barisan dan memperkukuhkan perpaduan  supaya keamanan dan kemakmuran yang sedang dikecapi selama ini dapat  dipertahankan dan diperkukuhkan lagi. 

"Kita berasa bertuah kerana semua rakyat Malaysia, walau pun terdiri dari berbilang  suku, bangsa dan keturunan masih dapat hidup dalam suasana yang aman, damai dan  harmoni. Kita berdoa agar keadaan ini dapat dihargai dan dipertahankan selama lamanya," katanya. 

Tamat