Pasukan dan agensi keselamatan perlu tingkatkan operasi tangani aktiviti jenayah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mahu operasi bersama antara pasukan dan agensi  keselamatan negara terus dipertingkatkan bagi menangani pelbagai aktiviti jenayah  sama ada di darat atau laut negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perairan negeri Sabah  yang luas dan panjang serta bersempadan dengan negara jiran, memberi cabaran  kepada pasukan dan agensi keselamatan negara. 

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan,  termasuk aktiviti penyeludupan dadah, rokok dan barangan bersubsidi, selain isu  pencerobohan nelayan asing dikesan di perairan negeri ini.  

Bagaimanapun katanya, aktiviti itu dapat dipatahkan oleh pasukan dan agensi  keselamatan negara termasuk oleh Maritim Malaysia, polis dan tentera. 

“Saya berharap latihan bersepadu dalam operasi bersama antara pasukan dan agensi  keselamatan negara terus dipertingkatkan pada masa akan datang, bagi menangani  pelbagai aktiviti jenayah sama ada di darat atau laut di negeri ini". 

“Bagi memacu ketersediaan aset dan kompetensi untuk melindungi dan  mempertahankan kepentingan Zon Maritim Malaysia pada setiap masa, saya berharap  melalui eksesais yang dilaksanakan, akan dapat meningkatkan lagi kecekapan Maritim  Malaysia dalam membantu mengawal keselamatan di perairan negara khususnya di  negeri ini". 

“Ia kerana Maritim Malaysia adalah antara agensi yang mempunyai peranan penting  dalam memelihara keselamatan perairan negara”, katanya ketika merasmikan Eksesais  Maritim Perkasa Timur 2/2023 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Sabah Port,  Jalan Sepanggar pada Isnin. 

Hajiji berkata, Kerajaan negeri amat menghargai usaha Maritim Malaysia dan bersedia  memberi kerjasama dalam apa jua perkara dan menjadikan agenda utama dalam  memastikan kedaulatan dan keselamatan negara khususnya negeri Sabah terjamin. 

Katanya, kerajaan negeri juga amat menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan  serta kerja keras perwira-perwira Maritim Malaysia yang tidak mengenal erti penat lelah  dalam menjalankan tugas. 

Katanya, Eksesais Maritim Perkasa Timur yang telah bermula pada 28 Oktober lalu  hingga 04 November ini merupakan eksesais gabungan elemen dalam mengukur  kesiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia.  

Menurutnya, ia juga untuk menguji kecekapan pegawai dan anggota terlibat dalam  merancang, melaksanakan eksesais serta operasi sebenar pada masa akan datang  disamping memperagakan kehadiran di Laut China Selatan khususnya di perairan  negeri Sabah. 

Beliau berkata, eksesais itu juga berteraskan konsep elemen cegah rintang yang  merupakan salah satu teras strategik maritim melalui pencegahan pelanggaran undang undang di laut dengan menunjukkan kehadiran aset-aset Maritim Malaysia Di Zon  Maritim Malaysia.  

"Eksesais ini dilaksanakan merangkumi perairan Kota Kinabalu dan gugusan semarang  peninjau di perairan negeri Sabah, Beting Patinggi Ali, Hampasan Dang Ajar dan Beting  Raja Jarum hingga ke Perairan Kuching di perairan Negeri Sarawak" tegasnya. 

Beliau yakin dengan gabungan sumber, keupayaan sedia ada dan koordinasi yang jitu,  pelaksanaan eksesais itu akan berjaya membantu Maritim Malaysia  

mempertingkatkan keupayaan dan kecekapan sumber manusia serta kesiagaan aset aset melindungi kepentingan Zon Maritim Malaysia dan memelihara kedaulatan negara  khususnya di Laut China Selatan. 

Tamat