Pelaksanaan pelan perlu dipantau berterusan

KOTA KINABALU: Pemantauan berterusan perlu diberi tumpuan utama ke atas Pelan  KK 2035 dan pelan Strategik DBKK 2023-2026 bagi memastikan pelaksanaannya  mengikut seperti apa yang terkandung dalam kedua-dua pelan berkenaan. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata menerusi pemantauan  itu ia dapat membantu agensi sektor awam untuk membuat penilaian, mengenalpasti  kekurangan serta kelemahan yang wujud, dan seterusnya melaksanakan  penambahbaikan yang diperlukan. 

“Saya berharap kedua-dua pelan yang dilancarkan hari ini akan dapat dilaksanakan  dengan sebaiknya mengikut apa yang terkandung dalam pelan berkenaan.  

“Justeru, beberapa perkara perlu diberi penekanan dalam memastikan kejayaan pelan  yang dihasilkan mencapai matlamat strategik dan keberhasilan yang diinginkan, iaitu  dengan memberi fokus secara berterusan terhadap pemantauan pelaksanaan,”  katanya.  

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Pelan KK 2035 dan Pelan Strategik  DBKK 2023-2026 di Hilton di sini, pada Khamis. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk  Abidin Madingkir. 

Pelan KK 2035 yang menyatukan pelan-pelan tindakan sedia ada meliputi enam (6)  agenda yang menjadi tunjang utama iaitu ketersediaan prasarana; kelestarian alam  sekitar; kemakmuran sosi-ekonomi; kerangka bandar pintar dan transformasi digital;  keterangkuman seni dan budaya, dan kecemerlangan tadbir urus. 

Bagi Pelan Strategik DBKK 2023-2026 pula, pelan ini juga digerakkan dengan dengan  enam (6) teras utama merangkumi Bandaraya Lestari; Masyarakat Sejahtera;  Perundangan dan Keteraturan; Pembangunan Sosio-Ekonomi; Tadbir Urus Berprestasi  Tinggi; dan Jaringan Kerjasama. 

Hajiji berkata Pelan KK 2035 ini akan menjadi rujukan utama kepada semua jabatan  dan agensi yang bertanggungjawab kepada pembangunan Kota Kinabalu dan ia  bergerak seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah kerangka Malaysia  Madani, dan selaras dengan Sustainable Development Goals 2030. 

“Penghasilan Pelan KK 2035 ini amat tepat pada masanya dengan mengambil kira  aspek inklusiviti dan kepelbagaian yang melibatkan semua lapisan masyarakat.  

“Bagi Pelan Strategik DBKK 2023-2026 pula, menggariskan 28 strategi dengan 56  program yang disenaraikan bagi mendokong teras strategik yang memenuhi keperluan  pemegang taruh, penduduk Bandaraya Kota Kinabalu dan merealisasikan misi dan visi  ke arah Bandaraya Kota Kinabalu yang sejahtera. 

“Saya menghargai inisiatif dan usaha DBKK menggubal Pelan KK 2035 dan Pelan  Strategik DBKK 2023-2026. Pelan yang dihasilkan ini adalah bukti kesungguhan DBKK  untuk mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian dan perkhidmatan yang  berorientasikan pelanggan serta memantapkan tata kelola berintegriti,” katanya. 

Sehubungan itu katanya, semua warga kerja baik di sektor awam mahupun swasta  perlulah terlibat sama, komited dan berkorban demi menjayakan visi dan misi yang  dirancang bersama menerusi kedua-dua pelan berkenaan. 

“Kerajaan negeri akan terus memberikan sepenuh komitmen untuk menyokong pelan  ini ke arah merealisasikan perubahan dan aspirasi rakyat,” katanya. 

Dalam masa sama, Hajiji berkata kepesatan proses perbandaran yang berterusan  saban tahun membawa bersama pelbagai cabaran dan perubahan baharu yang perlu  dipikul oleh pihak berkuasa tempatan atau PBT.  

“Mendepani semua cabaran dan perubahan baharu yang berada di luar jangkaan,  khususnya selepas pandemik COVID-19, Bandaraya Kota Kinabalu tidak boleh  ketinggalan. Sebaliknya, perlu lebih agresif melaksanakan pelbagai inisiatif menangani  serta mengadaptasi semua cabaran dan perubahan itu. 

“Sebagai agensi pelaksana barisan hadapan, DBKK perlu mempersiapkan langkah  yang strategik untuk mendepani cabaran-cabaran semasa dan menggalas  tanggungjawab yang diberikan,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, dalam usaha menjayakan pelan berkenaan DBKK juga perlu  terus memberi perhatian terhadap aspek kebersihan, keharmonian dan keselamatan  dalam bandar raya.  

“Bandar raya yang bersih dan indah bukan sahaja memberi keselesaan kepada  warganya malah akan menarik kehadiran pelancong sekali gus dapat memperkasakan  pertumbuhan ekonomi menerusi pelancongan,” katanya. 

Tamat