Keharmonian hubungan masyarakat perlu sentiasa dipertahankan

KOTA KINABALU: Keharmonian yang terbina dalam hubungan masyarakat pelbagai  budaya, bangsa dan agama di Sabah perlu sentiasa dipertahankan, kata Ketua Menteri,  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, ia merupakan kekuatan dan identiti penting negeri Sabah yang mempunyai  sebanyak 35 etnik dan 217 sub etnik yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan  80 dialek etnik.  

Menurutnya, perbezaan kaum dan agama bukan penghalang untuk hidup bersama  secara harmoni. Saling menghormati dalam kalangan rakyat adalah antara kunci  kejayaan negeri Sabah dalam mengekalkan perpaduan kaum. 

Beliau menyeru agar ikatan persaudaraan umat Islam di rantau ini terus diperkukuhkan  atas tautan “ukhuwah islamiyah” dan pertahankan amalan kesederhanaan serta  perpaduan agar tidak mudah dipengaruhi atau diganggu gugat oleh unsur-unsur yang  ekstrem.  

“Persaudaraan ini penting kerana ia menjadi pengikat kepada usaha-usaha  keharmonian dan kemakmuran berasaskan prinsip-prinsip keadilan, Rahmah dan kasih  sayang. Ajaran Islam juga menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan”. 

“Melalui nilai-nilai tersebut, kita dituntut untuk menghormati perbezaan yang terdapat  dalam masyarakat dan menerima realiti kepelbagaian seperti yang digariskan dalam  Islam”, katanya ketika merasmikan Seminar Keharmonian Serantau di Sabah  International Convention Centre (SICC) pada Selasa. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk  Dr. Hj Mohd Arifin Datuk Hj Mohd Arif . 

Katanya,dalam memperkukuhkan kesatuan ummah serantau bagi mendepani cabaran cabaran global masa kini, umat Islam perlu diperlengkapkan dengan keupayaan  intelektual, kreativiti dan daya saing yang tinggi, termasuk cabaran perubahan kepada  cara hidup yang berupaya memberi kesan kepada hubungan dalam masyarakat  pelbagai budaya dan agama. 

Menurutnya, umat Islam sebagai masyarakat yang dipimpin oleh nilai-nilai agama dan  isu-isu negatif yang melebarkan lagi jurang perbezaan dalam masyarakat perlu  diselesaikan dengan baik.  

Sehubungan itu, beliau meminta Umat Islam di negara ini khususnya di Sabah agar  tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan ekstreme yang mampu menggugat  keamanan, perpaduan dan persaudaraan serta keharmonian negara.  

Hajiji berkata, wacana keharmonian dan kemakmuran tidak boleh lari daripada  membincangkan dimensi kepelbagaian umat manusia secara keseluruhan. Rantau ini  khususnya, terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama yang sememangnya  merupakan satu dimensi yang perlu diurus dengan cara yang terbaik.  

“Saya mengharapkan keharmonian dan keamanan yang terjalin dalam kalangan  masyarakat yang pelbagai di rantau ini menjadi model kepada dunia”, tegasnya. 

Tamat