Rakyat Sabah diminta kekalkan keharmonian

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama  perlu bersama-sama mengekalkan keamanan dan keharmonian negeri Sabah seperti  yang dihasratkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini bagi memastikan  rakyat dapat terus hidup selesa dan makmur lebih-lebih dalam usaha untuk terus  membangunkan negeri ini. 

“Kepelbagaian suku kaum, etnik, agama dan budaya di negeri ini adalah lambang  keharmonian dan keunikan yang amat bernilai. Ia bukan sahaja menjadikan negeri ini  unik dalam aspek keharmonian dan perpaduan, tetapi ia adalah khazanah yang perlu  dikekalkan untuk generasi akan datang. 

“Saya berharap suasana ini sentiasa kita jaga dan pertahankan dengan cara menjaga  perpaduan dan saling hormat menghormati demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat  Sabah,” katanya pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun  Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin Yang di 

Pertua Negeri Sabah, pada Sabtu. 

Hajiji juga mahu kerjasama semua barisan kepimpinan negeri agar dapat menjalankan  tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur, taat dan  setia, berdedikasi dan berintegriti. 

“Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat hendaklah digalas dengan sepenuh hati agar  agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mampu kita capai bersama dengan penuh  kecemerlangan. 

“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri juga akan berusaha menyediakan pelbagai  kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat terutamanya golongan belia seperti latihan  dan kursus bagi mempelajari dan meneroka kemahiran baharu sehingga mampu  menjana pendapatan bagi membantu ekonomi keluarga,” katanya. 

Tamat