Persatuan Etnik Perlu Terus Perkasa Bahasa, Budaya & Adat Etnik

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa  semua persatuan etnik berbilang latar belakang di negeri ini terus memperkasakan  bahasa, kebudayaan dan adat etnik masing-masing agar tidak pupus dihanyut arus  perkembangan pesat globalisasi.  

Katanya, ia penting agar warisan budaya kepelbagaian etnik di Sabah yang terdiri  daripada lebih 35 etnik dan 217 sub etnik, menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira  90 dialek, akan terus diperkasa dan tidak terpinggir dalam kemodenan serta teknologi  masa kini. 

“Saya mahu persatuan etnik juga berusaha memastikan anak-anak kita, terutama  generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kita  bimbang jika soal bahasa ibunda ini tidak diberii perhatian serius, ia akan pupus begitu  sahaja”.  

“Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti  kaum tersebut. Justeru, generasi muda harus bersama-sama mengambil tahu tentang  bahasa dan kebudayaan kaum sendiri”, katanya pada majlis Anugerah Lagu SABAHvfm  2023 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA pada Khamis. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan  Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai. 

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai program untuk memartabatkan khazanah budaya  pelbagai kaum dan etnik di negeri ini juga akan terus diperkasakan.  

Menurutnya, keunikan Sabah bukan hanya pada sumber alam semula jadi sahaja tetapi  juga budaya rakyat termasuk bahasa.  

Katanya, rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu sentiasa berasa bangga  mempamerkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing supaya dikenali oleh  generasi muda dan orang luar.  

Sehubungan itu katanya, penganjuran majlis Anugerah Lagu SABAHvfm yang  menerima sambutan baik daripada masyarakat, khususnya para pengkarya seni muzik tempatan akan membantu usaha memartabatkan bahasa etnik Sabah dengan lebih  berkesan menerusi sinergi Kerajaan Negeri dengan agensi Persekutuan seperti RTM.  

Beliau berharap dengan penglibatan lebih ramai anak muda daripada pelbagai suku  kaum yang menyertai pertandingan seperti itu, agar mereka lebih mengenali bahasa  dan budaya masing-masing. 

Hajiji juga mengalu-alukan inisiatif dan kesungguhan RTM dalam menganjurkan  pertandingan berprestij bagi lagu-lagu dalam bahasa etnik di Sabah. 

“Penganjuran program ini mampu memelihara khazanah warisan budaya pelbagai etnik  di Sabah terutama bahasa agar tidak pupus dalam arus pembangunan dunia globalisasi.  Muzik dan lagu sama ada Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut membentuk dan  mewujudkan identiti budaya kita yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan  irama yang unik serta menarik”. 

“Saya berharap program itu akan menjadi satu usaha untuk menggalakkan generasi  muda kita mahir bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Kita perlu memelihara  bahasa ibunda masing-masing untuk diwarisi generasi akan datang dan memastikannya  tidak pupus. Dengan ini, bahasa dan setiap amalan budaya tradisional akan terus kekal  menjadi warisan kepada generasi akan datang”. 

“Semoga penganjuran Anugerah Lagu SABAHvfm berupaya meningkatkan  penguasaan bahasa etnik khususnya Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut dalam  kalangan rakyat dari suku kaum berkenaan, mahu pun silang budaya yang mampu  menjadi wadah perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Sabah dan  Malaysia amnya”, tambahnya. 

Tamat