Pembangunan Ladang Hutan Bukan Penyumbang Penyah-hutanan

SANDAKAN: Pembangunan sektor perhutanan terutamanya ladang hutan di Sabah tidak patut  dilihat sebagai penyumbang kepada penyah-hutanan (deforestation) kata Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, ini kerana ia dijalankan mengikut pelan pembangunan ladang hutan yang disahkan  dan diluluskan oleh Jabatan Perhutanan, mengikut garis panduan yang komprehensif dari sudut  perlindungan alam sekitar.  

Menurutnya, dakwaan pihak tertentu bahawa pembangunan sektor perhutanan di Sabah,  terutamanya ladang hutan telah melibatkan proses penyah-hutanan (deforestation) yang ketara  serta menjejaskan litupan hutan adalah tidak tepat.  

Beliau berkata, pihak tersebut sepatutnya membuat penelitian fakta yang lebih cermat dan  memahami konteks pengurusan hutan di Sabah. 

"Kerajaan Sabah telah mengenal pasti sebahagian kecil kawasan hutan simpan yang musnah  (degraded) dengan keluasan lebih kurang 400,000 hektar untuk tujuan tersebut, sebagaimana  termaktub dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022 – 2036)". 

"Dari sudut yang positif, pembangunan ladang hutan adalah salah satu strategi Pengurusan  Hutan Mampan (SFM) bagi memulihkan produktiviti hutan yang terosot, untuk mengurangkan  kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak dari hutan asli, dan  memastikan sumber bekalan bahan mentah yang berkekalan", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat  Negeri Sabah di Rainforest Discovery Centre (RDC) dekat sini, hari ini.Teks ucapan Hajiji  disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan  Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam. 

Dalam aspek pengurusan hutan, beliau tegaskan Kerajaan Sabah sentiasa komited untuk  mengekalkan 50% kawasan litupan hutan negeri, sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018.  

Katanya pada masa ini, Sabah masih mengekalkan 64% kawasan litupan hutan negeri. Ini  meliputi 3,848,597 hektar (52%) kawasan yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan  kawasan perlindungan lain.  

Menurutnya, bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah penting itu,  Sabah telah mewartakan sehingga 1.9 juta hektar (26.4%) sebagai Kawasan Terlindung  Sepenuhnya (Totally Protected Area) bagi mencapai sasaran 2.2 juta hektar atau 30% daripada  keluasan negeri menjelang tahun 2025. 

Hajiji berkata, Kerajaan Sabah sedang melakukan usaha rasionalisasi guna tanah bagi tujuan  keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan konservasi alam sekitar.  

"Seiring dengan itu, Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka satu Pelan Induk Hutan- “Statewide Forest Master Plan”, yang akan menyediakan garis panduan pelan tindakan  terhadap pengurusan sumber hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan  berhutan di seluruh Sabah". 

"Menerusi Pelan Induk Hutan ini kelak, Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan  Ekologi Sensitif (Ecological Sensitive Area (ESA)) tetap dilindungi dan pada masa yang sama  tidak mengabaikan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan untuk kesejahteraan rakyat  Sabah. Ini adalah sejajar dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang  diantaranya menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan  hijau", tegasnya. 

Sebagai manifestasi kepada keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan perlindungan  sumber asli, Hajiji berkata, Kerajaan Sabah dengan kerjasama United Nations Development  Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) akan mempelopori pelaksanaan  Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (Food  Systems, Land Use and Restoration Impact Program - FOLUR IP). Program ini akan melibatkan  Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan lebih kurang 2.1 juta hektar. 

Menurutnya, ianya akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi  membendung kesan penghasilan minyak sawit, disamping mengekalkan kawasan hutan bernilai  tinggi, HCV (High Conservation Value) untuk faedah alam sekitar dan pembangunan. Program  ini akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah, dan dijangkakan akan memberi faedah kepada  lebih kurang 56,000 orang penduduk kawasan luar bandar. 

Hajiji berkata, sebagai alternatif untuk penjanaan pendapatan baharu, Kerajaan Sabah telah  meneroka inisiatif-inisiatif yang dapat menyokong program konservasi hutan melalui potensi  penjanaan hasil pendapatan bukan berasaskan kepada kayu (Forest Beyond Timber). 

"Ini termasuklah aktiviti-aktiviti rekreasi berasaskan hutan, pembayaran perkhidmatan  ekosistem hutan (Payment for Forest Ecosystem Services) dan perdagangan karbon melalui  pelaksanaan Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation Plus (REDD+)". 

"Salah satu contoh yang dapat kita lihat ialah pembangunan prasarana di Rainforest Discovery  Centre (RDC) Visitor’s Complex ini yang terbukti berupaya menarik pelancong dari dalam dan  luar negara, yang meminati aktiviti rekreasi bertemakan hutan". 

"Pembangunan RDC Visitor’s Complex ini telah siap dibina pada tahun 2022 dengan bantuan  teknikal dan kewangan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Malaysia  (NRECC) berjumlah RM7 juta telah menambah nilai usaha Kerajaan Sabah dalam  memperkasakan sektor rekreasi hutan dengan berkonsepkan pendidikan alam sekitar dan  kesedaran awam," tambahnya. 

Tamat