Sabah miliki potensi lengkap jadi Hab Perikanan Laut Dalam Serantau

KOTA KINABALU: Sabah berada di landasan tepat untuk menjadi Hab Perikanan Laut  Dalam terunggul di rantau ini susulan pelbagai kelebihan strategik yang dimilikinya, kata  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Menurutnya, negeri ini bukan sahaja berada di laluan migrasi tuna antarabangsa,  bahkan turut memiliki pelabuhan semula jadi yang terlindung dan berdekatan dengan  negara pengeluar utama seperti Indonesia, Filipina dan Papua New Guinea. 

“Kita memiliki segala prasyarat – dari segi lokasi, sumber, infrastruktur dan sokongan  dasar – untuk memacu Sabah sebagai pusat pendaratan, pemprosesan dan  pengeksportan hasil laut dalam berpiawaian antarabangsa,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum  Persefahaman (MoU) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan Petco  Trading Labuan Company Ltd serta Memorandum Perjanjian (MoA) antara DBKK dan  Alpha Ocean Resources Berhad (AORB), di Pacific Sutera Harbour pada Rabu. 

Katanya, menerusi MoA itu, AORB akan melabur RM360 juta bagi membangunkan  sebuah Pelabuhan Bertaraf Kesatuan Eropah (EU) khusus untuk pendaratan ikan tuna  dan hasil laut dalam di Kota Kinabalu.  

Menurutnya, projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan akan mewujudkan  lebih 1,000 peluang pekerjaan merentasi rantaian nilai industri. 

“Pelabuhan ini akan mematuhi piawaian ketat EU termasuk Hazard Analysis and Critical  Control Points (HACCP), sistem kebolehjejakan, pemantauan Illegal, Unreported and  Unregulated (IUU) dan keselamatan makanan menyeluruh.  

"Dengan kemudahan ini, kita boleh tembusi pasaran eksport premium yang selama ini  terbatas akibat ketiadaan fasiliti yang sesuai,” tegas Hajiji. 

Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam Western & Central Pacific Fisheries  Commission (WCPFC) bakal membolehkan pelabuhan baharu ini menjadi pusat  pendaratan sah bagi kapal penangkap ikan berdaftar dari serata dunia.

“Dengan unjuran 1,000 kapal setahun, masing-masing membawa purata 50 tan  tangkapan, Sabah berpotensi mendaratkan 50,000 tan tuna setahun dan menjana nilai  ekonomi sehingga RM1.8 bilion,” katanya. 

Menurutnya, manfaat ekonomi bukan sekadar terhad kepada hasil tangkapan, malah  meluas kepada pelbagai sektor sokongan seperti pembekalan ais, perkhidmatan  bunkering, F&B dan perkhidmatan teknikal. 

Dalam masa yang sama, Hajiji menegaskan bahawa pembangunan industri ini tidak  akan mengabaikan kebajikan komuniti nelayan tempatan. Model pembangunan inklusif  akan memastikan penglibatan nelayan pesisir dalam komponen hiliran bernilai tambah. 

“Kita akan terus menekankan tadbir urus "environmental, social & governance"(ESG)  yang mampan – menjaga alam sekitar, masyarakat dan urus tadbir – demi  kelangsungan ekosistem marin serta kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya. 

Dalam majlis sama, DBKK turut memeterai MoU dengan Petco Trading Labuan  Company Ltd bagi membangunkan kompleks tenaga biogas di tapak pelupusan sampah  Kayu Madang. Projek itu bakal menukar gas metana daripada sisa pepejal kepada  tenaga elektrik hijau sebanyak 2 Megawatt. 

“Tenaga ini akan memberi manfaat langsung kepada sektor pembuatan di Taman  Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). Ini contoh terbaik pendekatan ekonomi pekeliling – sisa satu sektor menjadi sumber tenaga bagi sektor lain,” ujarnya. 

Hajiji berkata, kedua-dua inisiatif ini selaras dengan agenda Ekonomi Biru Sabah yang  menekankan pembangunan mampan, nilai tambah industri perikanan serta peralihan  kepada tenaga bersih. 

“Kejayaan menarik pelaburan ini membuktikan keyakinan tinggi pelabur terhadap  prospek ekonomi Sabah. Saya yakin sinergi antara DBKK, sektor swasta dan kerajaan  negeri akan mempercepat pertumbuhan ekonomi dan mencipta lebih banyak peluang  pekerjaan untuk rakyat,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBKK atas usaha berterusan memacu  pembangunan bandar raya dan kepada kedua-dua syarikat terbabit yang memilih Sabah  sebagai destinasi pelaburan strategik mereka. 

Tamat