RM14 juta untuk pembangunan budaya di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM14 juta bagi tujuan  pembangunan budaya di negeri Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor.  

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan  Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, manakala RM9.5 juta lagi  diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah  (LKNS). 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menetapkan tujuh keutamaan dalam  membangunkan bidang kebudayaan di Sabah yang telah dimulakan sejak 2021 hingga  2030. 

"Tujuh keutamaan itu ialah pendigitalan seni budaya (eCulture), pelancongan budaya  bersepadu, pemuliharaan budaya, pengukuhan hubungan etnik, penyelidikan dan  dokumentasi budaya, pengembangan seni budaya dan perlindungan harta intelek". 

"Tujuh keutamaan itu adalah sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam  pembangunan budaya pelbagai etnik di negeri ini, dan peranan tersebut  dipertanggungjawabkan kepada LKNS". 

"Menerusi tujuh keutamaan ini, kita mahu semua badan kebudayaan dan komuniti  membangun bersama, menghayati dan menjiwai nilai kebudayaan yang diwarisi,  seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan  Ke-38 anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Sabah International  Convention Centre (SICC) pada Ahad. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan  Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. 

Katanya, FCAS pernah menganjurkan Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan 12 tahun  lalu dan tahun ini giliran Sabah menjadi tuan rumah semula.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyokong dan mengalu-alukan penganjuran aktiviti  kebudayaan etnik negeri ini, termasuk usaha FCAS menganjurkan Pesta Kebudayaan  Cina Kebangsaan.  

Menurutnya, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari pesta itu termasuklah  persembahan kebudayaan, pesta makanan, pameran kebudayaan dan kraftangan,  perkampungan budaya, perarakan tanglung dan kereta berhias.  

Katanya, perarakan Obor turut diadakan di 12 station seluruh negeri Sabah dan berjaya  sampai ke Pulau Mataking dan Gunung Kinabalu yang merupakan tempat tarikan  pelancong, yang akan membantu mempromosikan industri pelancongan negeri ini.  

Hajiji berharap pesta itu berjaya menyebarkan kesedaran dikalangan generasi muda  berkaitan warisan dan kebudayaan Tionghua dan juga membantu mengeratkan  hubungan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.  

"Kita juga berharap pesta ini dapat mempromosikan kepelbagaian budaya Tionghua  bukan sahaja kepada rakyat tempatan malah juga pelancong dari luar negara",  tegasnya. 

Tamat