KM: Sektor pertanian pemacu utama ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal komited memastikan sektor pertanian terus  menjadi enjin pertumbuhan dan pemacu ekonomi Sabah yang lebih dinamik dan  berdaya tahan. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sektor pertanian bukan  sekadar penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negeri, malah memainkan  peranan kritikal dalam menjamin keterjaminan makanan negara. 

“Sektor ini menyumbang sebanyak RM12.2 bilion atau 14.5 peratus kepada Keluaran  Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah. Maka kerajaan negeri memberi keutamaan untuk  terus memperkasa bidang ini dengan pendekatan lebih strategik dan inklusif,” katanya  pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan  (HPPNK) 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menyempurnakan penutupan  HPPNK 2025. Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri  Mohamad Sabu serta barisan kepimpinan negeri dan persekutuan. 

Hajiji berkata, sebagai negeri yang kaya dengan sumber tanah subur dan iklim tropika  yang sesuai untuk pertanian, Sabah mengambil pendekatan berani dalam menyokong  agenda keterjaminan makanan nasional. 

Katanya, antara langkah konkrit termasuk penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras  Sabah pada tahun lalu — setelah ditutup pada tahun 1981 — bagi memperkasa industri  padi tempatan dan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 30 peratus  menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030. 

“Langkah ini selaras dengan keutamaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar yang  memberi perhatian terhadap kepentingan sektor pertanian, khususnya penanaman padi  dan pengeluaran beras tempatan,” katanya. 

Seiring transformasi sektor agromakanan negara, Hajiji menekankan kepentingan  penggunaan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT) dan pertanian pintar (smart  farming) bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran, menjana produktiviti lebih tinggi  dan menarik minat golongan muda.

Beliau berkata, Sabah kini mempunyai 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)  yang berjaya menghasilkan lebih 1,494 metrik tan hasil makanan dan menjana pulangan  melebihi RM4.32 juta setakat ini. 

Hajiji turut memaklumkan pelaburan strategik berimpak tinggi pertama dalam sektor  Ekonomi Biru, iaitu pembangunan pelabuhan pendaratan ikan Tuna dan hasil laut dalam  bertaraf Kesatuan Eropah di Kota Kinabalu oleh Kerajaan Negeri bersama syarikat  tempatan dengan nilai pelaburan mencecah RM360 juta. 

Menurutnya, pelabuhan berkenaan dijangka mendaratkan 50,000 tan ikan tuna setahun,  dengan potensi menjana nilai ekonomi sehingga RM1.8 bilion setahun, sekali gus  meletakkan Sabah sebagai antara pemain utama industri perikanan laut dalam. 

Hajiji turut menyeru komuniti peladang, penternak dan nelayan di Sabah agar lebih  terbuka menerima perubahan dan meneroka teknologi baharu dalam amalan pertanian  serta pengurusan ladang secara moden. 

“Kita mahu komuniti ini menjadi pemain yang progresif dan kompetitif. Masa depan  sektor ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk berinovasi dan beradaptasi  dengan landskap baharu pertanian moden. 

“Kita juga mahu sektor ini terus maju, menjana pendapatan kepada rakyat dan menjadi  tunjang kepada keterjaminan makanan serta kesejahteraan negara,” katanya. 

Tamat