Kerajaan Negeri perkasa industri halal Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkasakan industri halal sebagai  salah satu sektor berpotensi besar untuk menjana ekonomi negeri, sekali gus membuka  lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, industri halal kini  berkembang pesat dengan nilai dagangan global mencecah berbilion dolar dan menjadi  penyumbang utama dalam perdagangan antarabangsa. 

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak – kerajaan negeri, agensi berkaitan,  sektor swasta dan komuniti usahawan – agar berganding bahu memperkukuh ekosistem  industri halal di Sabah. 

“Industri halal hanya akan berjaya jika kita bergerak bersama. Dengan adanya sokongan  menyeluruh, produk usahawan Sabah berpotensi besar menembusi pasaran luar  negara,” katanya ketika melancarkan Program MyHalal Day Sabah 2025 di Dewan  Sa’adah, Wisma MUIS, di sini pada Ahad. 

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr.  Haji Mohd Arifin Mohd Arif. 

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri  (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)  menyediakan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada usahawan kotej dan mikro. 

Hajiji berkata, bantuan ini disalurkan dalam bentuk peralatan asas bagi meningkatkan  operasi perniagaan, namun usahawan yang berminat perlu terlebih dahulu mengikuti  Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam yang dikendalikan MUIS Halal Hub. 

“Pensijilan halal bukan sahaja lambang kualiti, kebersihan dan integriti produk, malah ia  kunci utama untuk menembusi pasaran halal yang semakin berkembang sama ada di  Sabah, Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. 

"Dengan menyertai industri halal, usahawan dapat meningkatkan kemampuan mereka  untuk bersaing di peringkat global. Justeru, industri halal di Sabah khususnya  membabitkan pengusaha IKS akan terus diperkasa dan terpelihara menerusi MUIS  Halal Hub", katanya. 

Beliau berharap program MyHalal Day melahirkan lebih ramai usahawan halal yang  berdaya saing, serta mengangkat nama Sabah sebagai antara pemain utama dalam  industri halal serantau. 

Menurut Hajiji, penganjuran MyHalal Day yang berlangsung selama tiga hari sejak  Jumaat lalu memberi manfaat besar kepada usahawan melalui pelbagai pengisian,  antaranya klinik halal, kursus pengendalian makanan, ceramah digital halal, serta  perkongsian perbankan mengenai bantuan pensijilan halal. 

“Program sebegini meningkatkan kesedaran usahawan untuk memohon sijil halal dan  melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas bagi memperkukuh daya saing  produk,” jelasnya. 

Tamat