Rakyat Sabah diseru kibar Jalur Gemilang dengan semangat patriotisme

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru  kepada semua rakyat Malaysia di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang bagi  menunjukkan semangat patriotisme, seterusnya memeriahkan sambutan Bulan  Kebangsaan. 

Katanya, rakyat perlu mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga  terutamanya di rumah, bangunan pejabat kerajaan dan swasta, premis perniagaan,  kenderaan masing-masing serta di mana sahaja tempat yang sesuai. 

“Sempena Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang tahun ini, saya  mengajak seluruh lapisan rakyat untuk kita sama-sama membangkitkan semangat  patriotisme dan mengukuh serta memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat  berbilang kaum dan agama di negeri ini.  

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian  daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi  kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman serta sejahtera. Perpaduan adalah  suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.  

“Oleh itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar  kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila,” katanya ketika  melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat  Negeri Sabah 2023 di sini, pada Selasa. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan  Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. 

Hajiji berkata, penerapan semangat patriotisme dalam setiap rakyat bukan sahaja  menjadi ciri penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka, tetapi juga  mampu membina kerukunan jitu dalam kalangan rakyat bagi menghadapi cabaran besar  yang mendatang. 

"Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka sepanjang Bulan Kebangsaan ini,  termasuklah Kembara Merdeka Negaraku anjuran Jabatan Penerangan Sabah yang  akan menjelajah ke seluruh negeri bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan  kebangsaan. 

“Aktiviti lain yang dirancang antaranya Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA),  Pertandingan Mencipta Video Pendek Kreatif Di Sabahfm, Doa Sayangi Malaysia,  Ceramah Cinta Negara dan Program Semarak Gemilang,” katanya. 

Dalam oada itu, Ketua Menteri menegaskan pentingnya sokongan padu dan kerjasama  dari semua pihak termasuklah jabatan dan agensi kerajaan, sektor korporat, badan  bukan kerajaan serta rakyat untuk merealisasikan pembangunan yang disusun dalam  pelan pembangunyan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,  

“Pelaksanaan pelbagai imisiatif berimpak tinggi di bawah Hala Tuju SMJ, yang  memasuki tahun kedua pelaksanaannya mula membuahkan hasil. Sabah telah melakar  pelbagai pencapaian membanggakan yang tercermin melalui peningkatan pertumbuhan  ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri ini dalam tempoh berkenaan.  

“Justeru, dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi serta perpaduan  rakyat di semua peringkat adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan  pembangunan di Sabah,” katanya. 

Tamat