RM10 Juta Kemudahan Pinjaman Mikro YUM Untuk Wanita

TUARAN: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukkan sebanyak RM10 juta kepada  Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini untuk kemudahan pinjaman mikro kepada  golongan wanita, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, Kerajaan amat prihatin dan akan memastikan usahawan khususnya wanita  mendapat peluang dan kemudahan pinjaman yang sama rata.  

Beliau berkata, agensi-agensi kerajaan negeri lain yang menawarkan bantuan dana  turut menyediakan kursus dan latihan perniagaan, disamping bantuan promosi dan  pemasaran produk ke pasaran dalam dan luar negeri. 

"Kerajaan negeri turut memberi perhatian dan tumpuan kepada pembangunan peniaga  kecil dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), sebagai industri pendukung  dan pemangkin kepada sektor pembuatan". 

"Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM6.17 juta kepada Jabatan  Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan pada tahun ini, bagi mempergiatkan  promosi produk-produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa". 

"Bagi memperkasakan dan memantapkan lagi Program Bantuan IKS, Program  Persijilan MESTI dan Halal telah bermula tahun ini bagi melayakkan produk IKS Sabah  bersaing di peringkat antarabangsa. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah  RM15 juta bagi menyokong program ini", katanya ketika merasmikan penutupan Hari  Keluarga Terbuka Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Tuaran 2023 di Dewan  Seri Sulaman pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan  dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai. 

Hajiji berkata, AIM sebagai penyedia kewangan mikro di negara ini banyak membantu  usahawan kecil dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di negara ini, termasuk  golongan wanita dan B40 untuk keluar daripada kepompong kemiskinan di negeri ini.

Menurutnya. terdapat kalangan Usahawan kecil yang berjaya memperolehi pendapatan  sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, hasil bantuan AIM.  

"Ini membuktikan AIM telah berjaya membantu mengangkat martabat para peniaga dan  sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat di seluruh negara"  

"Di Tuaran sahaja, seramai 3,102 ahli AIM mendapat pembiayaan pinjaman daripada  AIM bagi menjalankan perniagaan", tegasnya. 

Beliau berharap AIM terus membantu menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada  sahabat usahawan di Sabah secara keseluruhannya agar dapat menjana pendapatan  mereka dan seterusnya meningkat kekuatan ekonomi negara. 

Hajiji percaya dengan peruntukan RM10 juta untuk AIM yang diumumkan Perdana  Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia telah dapat membantu melancarkan pelaksanaan  program yang dirangka agensi itu dalam membantu Sahabat Usahawan di negara ini.  

"Justeru, saya meminta peniaga untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang  ditawarkan kerajaan untuk membangunkan perniagaan mereka". 

"Saya menyeru lebih ramai usahawan mengambil kesempatan daripada inisiatif  kerajaan supaya dapat mengakses pengetahuan, kemahiran, rangkaian dan sumber. Ini  selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk  membangunkan modal insan dan memupuk pembangunan keusahawanan". 

"Saya juga ingin melihat supaya usahawan kita berdaya saing, inovatif, dinamik dan  proaktif serta menerokai peluang untuk mengatasi semua halangan dan seterusnya  menuju ke peringkat global", tegasnya. 

Tamat